KUALA LUMPUR – Dewan Ulama PAS Wilayah Persekutuan mencabar Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansur berdebat tentang isu ajaran sesat.
Ketuanya, Azhar Yahya berkata, tuduhan Tengku Adnan bahawa PAS sebuah parti politik yang membawa ajaran sesat adalah satu tuduhan yang serius.
“Kami amat berharap laporan itu tidak benar memandangkan ia satu tuduhan yang sangat serius daripada sudut agama dan perundangan negara.
“Hadis menjelaskan tentang bahaya menuduh seseorang dengan tuduhan kesesatan akidah seseorang tanpa bukti apatah lagi dengan niat yang jahat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Justeru, kata Azhar, beliau mencabar Tengku Adnan untuk berdebat tentang perkara itu tanpa sebarang syarat.
Portal pro-pembangkang kelmarin melaporkan Tengku Adnan mendakwa PAS sebuah parti politik yang membawa ajaran sesat dan memesongkan akidah umat.
Beliau memberi contoh PAS menyebabkan ada jemaah bersembahyang dua imam, PAS membuat dakwaan sembelihan orang UMNO tidak boleh makan dan pernikahan oleh kadi yang digaji UMNO tidak sah. – mynewshub.cc

