KUALA LUMPUR – DAP mendakwa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempunyai kuasa veto dalam parti itu kerana boleh membuat sebarang keputusan untuk PAS secara bersendirian.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, menyedari hakikat itu maka DAP terpaksa mendesak supaya Abdul Hadi menghadiri setiap Mesyuarat Kepimpinan Pakatan Rakyat.
“Ini satu permintaan yang munasabah kerana hanya Abdul Hadi memegang kuasa penuh dalam PAS untuk membuat keputusan dan beliau menikmati kuasa veto penuh itu termasuk ke atas Jawatankuasa Pusat PAS.
“Maka kehadiran Abdul Hadi dalam mesyuarat satu kemestian untuk untuk Pakatan Rakyat berfungsi bersama sebagai satu gabungan serta memastikan kepaduan dasar dan perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang melahirkan rasa kesal ke atas kepimpinan PAS yang mengkritik desakan DAP ke atas Abdul Hadi.
Beliau turut berasa kesal apabila segelintir pimpinan PAS menuduh beliau lebih banyak tidak menghadiri Mesyuarat Kepimpinan Pakatan Rakyat berbanding Presiden PAS.
Justeru, beliau meminta pimpinan PAS membuat semakan ke atas fakta terlebih dahulu sama Abdul Hadi lebih banyak menghadiri mesyuarat itu berbanding beliau.
“Saya telah pun menyampaikan tentang perkara itu kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Abdul Hadi Awang hari ini bagaimanapun memaklumkan beliau gagal hadir Mesyuarat Kepimpinan Pakatan Rakyat kerana tahap kesihatannya belum pulih sepenuhnya,
Abdul Hadi dilaporkan tidak menghadiri mesyuarat dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat termasuk PAS sejak berlaku krisis Menteri Besar Selangor pada Ogos lalu.
Malah, hubungan PAS dengan parti gabungan menjadi tegang rentetan isu berkenaan apabila beliau dikatakan menunjukkan sikap dingin terhadap aktiviti gabungan parti tersebut. – mynewshub.cc

