KUALA LUMPUR – “Menakjubkan, berlainan, hebat” – itu adalah antara pujian diterima daripada beberapa pengunjung asing pada pameran Hari Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) Malaysia 2014 di Dataran Merdeka di sini, hari ini.
Pengunjung dilihat membanjiri kawasan itu seawal 10 pagi bagi menyaksikan sendiri keunikan warisan sejarah negara dan pelbagai aktiviti termasuk persembahan kebudayaan, permainan tradisional dan merasai sendiri pelbagai makanan antaranya laksa, pasembor, char koey teow serta asam pedas.
Bill Carr, 65, sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Scotland berkata kebudayaan dan warisan yang unik ialah antara aspek paling penting yang menarik beliau untuk melawat negara ini.
“Malaysia berada pada tahap terbaik dalam konteks kebudayaan dan warisan, penduduk di sini cukup mesra dan peramah tanpa mengira kaum,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau ditemui ketika mencuba pakaian tradisional termasuk keris di ruang pameran pakaian tradisional dan senjata Melayu yang antara lain mempamerkan tanjak, tengkolok, keris dan panah.
“Ia benar-benar hebat untuk berada di sini. Saya akan berkongsi pengalaman ini dengan isteri dan anak-anak apabila kembali ke negara saya,” kata beliau.
Tomoyasu Suzuki, 41, dan isteri Mayuko Suzuki, 36, dari Jepun pula menyifatkan pameran itu sebagai pengalaman menarik walaupun ini merupakan kali pertama mereka berkunjung ke sini.
“Ia cukup menakjubkan untuk menyaksikan pameran itu yang menampilkan banyak karya seni, pakaian tradisional Melayu, senjata tradisional, makanan dan banyak lagi,” kata mereka.
Sementara itu, Hazizah Arshad, 54, yang datang bersama dua anaknya, Siti Nuraini Mat Rashid, 12, dan Abdul Aiman, 9, pula menggunakan cuti hujung minggu mengunjungi pameran itu bagi memberi pendedahan sejarah Malaysia kepada anak-anaknya.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (MNCU) merasmikan pameran dua hari itu yang bertema ‘Warisan Kita, Warisan Dunia’ anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dengan kerjasama MNCU. – BERNAMA

