PUTRAJAYA – Kerajaan menolak sebarang bentuk kegiatan bersifat militan yang secara terang tidak mencerminkan kemurnian Islam, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri berkata, pembabitan pihak tertentu dalam kegiatan militan berpunca daripada tandus pengetahuan tentang Islam.
“Kedangkalan dan kecetekan ilmu akan hanya menjerumus kepada kancah perbuatan yang menyimpang dari ajaran sebenar Islam berasaskan al-Quran dan as-sunnah.
“Kita sering dengar perdebatan istilah jihad tanpa memahami maksudnya yang mendalam. Perjuangan dan pengorbanan yang diajarkan Islam bukan seperti perbuatan menjadi pengebom berani mati kerana ia dilarang keras di sisi Islam.
“Sebaliknya jihad yang lebih afdal kepada kita adalah berada di pengkalan yakni platform pentadbiran dan pemerintahan demi memakmurkan negara berteraskan ekonomi keperluan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1436H bertemakan ‘Perpaduan Nadi Transformasi Negara’ di sini sebentar tadi. – BHarian Online

