YOKOHAMA, Jepun: United Malayan Land Bhd (UMLAND) bekerjasama dengan sebuah syarikat Jepun untuk membangunkan sebuah taman tema digital hiburan dan pendidikan di Iskandar Malaysia pada 2017.
Memetik laporan BH Online, pembangunan taman tema itu yang dianggar membabitkan kos antara RM57 hingga RM93 juta, kini dalam peringkat akhir untuk dimuktamadkan.
Penolong Pengurus Besar UMLAND, Bobby Chin, berkata projek itu adalah hasil kerjasama dengan sebuah syarikat permainan digital terkemuka Jepun yang sudah membuka tiga taman tema seumpamanya, iaitu dua di Jepun dan satu di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
UMLAND diberi hak untuk membina dan mengendalikan operasi taman tema berkenaan yang akan menggunakan konsep sama seperti yang dikendalikan syarikat usaha sama itu di Jepun.
“Sekiranya menjadi kenyataan, ia akan menjadi taman tema ketiga dan tarikan terbaharu ke Iskandar Malaysia selepas Hello Kitty dan Legoland,” katanya yang juga antara delegasi misi pelaburan dan perdagangan Malaysia ke Jepun, di sini hari ini.
UMLAND adalah antara pemaju hartanah yang terbabit dengan pembangunan Iskandar Malaysia dan taman tema itu dicadang diwujudkan dalam kompleks perniagaan.
Ia menyasarkan semua peringkat usia dalam sesebuah keluarga dengan menyediakan pelbagai maklumat mengenai alam dan hidupan dalam bentuk hiburan digital.
Pembangunan taman tema itu termasuk perisian, perkakasan, sistem serta pengurusannya akan dibiayai sepenuhnya UMLAND dan syarikat akan membayar 10 peratus royalti kepada rakan kerjasama Jepun itu yang bertanggungjawab menyediakan kandungan.
“Kami yakin taman tema itu bakal mendapat sambutan hangat kerana hanya ada satu sahaja seumpamanya di dunia setakat ini, iaitu di Jepun yang dibuka tahun lalu dan sudah menerima 600,000 pengunjung,” katanya. :-MYNEWSHUB.CC
Oleh: SYA