KUALA LUMPUR – Orang ramai berpusu-pusu untuk mengisi minyak berikutan kenaikan harga petrol dan diesel tengah malam tadi kerana setiap ringgit adalah amat bermakna buat mereka.
Ketua Pemuda MIC, C.Sivarraajh berkata, tindakan orang ramai itu juga kerana mereka terperanjat dengan pengurangan subsidi untuk petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter tersebut.
“Kenaikan harga ini juga memberi kesan kepada harga barangan dan perkhidmatan lain.
“Kenaikan harga petrol dan diesel menyebabkan kos hidup orang ramai meningkat dan paling terkesan adalah golongan miskin,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, C.Sivarraajh meminta supaya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dinaikkan untuk membantu orang ramai berhadapan dengan kesan kenaikan harga petrol dan diesel tersebut.
Kerajaan semalam mengumumkan pengurangan subsidi untuk petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter bermula tengah malam tadi.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagaimanapun memaklumkan kerajaan akan memastikan langkah rasionalisasi subsidi itu memberi kesan minimum terhadap ekonomi selain tidak membebankan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.
KPDNKK turut menegaskan kerajaan sedar rasionalisasi subsidi memberi kesan kepada masyarakat dan akan terus menyediakan bantuan dan insentif untuk meringankan beban terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Kata KPDNKK, salah satu langkah yang akan diambil kerajaan adalah menaikkan kadar pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang akan diumumkan dalam Bajet 2015. – mynewshub.cc

