KUALA LUMPUR – PAS Pahang melarang semua ahlinya daripada terlibat dalam sebarang aktiviti yang dianjurkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) pro -pakatan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma).
Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pasma yang yang ditubuhkan atas matlamat kebajikan telah jauh menyimpang dari tujuan asal menjadi sebuah organisasi yang mempertikaikan Majlis Syura Ulama PAS.
“Sebagai sebuah entiti NGO parti, sepatutnya Pasma fokus kepada soal kebajikan ahli dan anggota masyarakat, bukan mengadakan majlis bagi mempertikaikan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan dan majlis syura atau keputusan parti.
“Apa erti kita berada dalam parti lalu mengadakan majlis bagi mempertikai kepimpinan parti, mempersoal perkara yang telah diputus oleh jamaah termasuk dasar dan perlembagaan parti PAS,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Tuan Ibrahim berkata, arahan melarang ahli PAS Pahang menghadiri program Pasma untuk mengelak berlaku masalah dalam parti yang boleh mengundang kekeliruan dan prasangka buruk ahli kepada kepimpinan parti.
Jelasnya, PAS mempunyai saluran bagi menyatakan sikap serta pandangan dan perbezaan pandangan dirai dalam ruang yang ada, bukan menambah kekeliruan dengan pelbagai kritikan yang tidak berasas serta tidak menguntungkan.
“PAS Pahang akan memantau secara dekat sebarang aktiviti yang boleh merosakkan jamaah ini,” tegasnya lagi. – mynewshub.cc

