KUALA LUMPUR – Ford hari ini mengumumkan September mencatat prestasi terbaiknya di Malaysia, dengan jualan runcit meningkat 52 peratus kepada 1,183 unit dan 55 peratus lebih tinggi kepada 3,697 bagi suku ketiga berbanding tempoh yang sama sebelum ini.
Syarikat automotif itu berkata prestasi yang kukuh ini didorong oleh prestasi penjualan Ranger yang sangat baik pada suku ini serta permintaan yang kukuh ke atas barisan kenderaan Ford.
Pengarah Urusan, Ford Motor Company, Malaysia dan Pasaran Pesat Membangun Asia Pasifik, David Westermen berkata trak pikap Ranger terus menjadi kenderaan Ford paling laris di Malaysia, dengan mencatatkan lonjakan 48 peratus jualan kepada 745 unit tahun ke atas tahun pada September.
“Tahap keselamatan yang tiada tandingan dan keupayaan trak yang luar biasa telah meningkatkan segmen pikap di pasaran hari ini, dan membantu meneruskan popularitinya di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Jualan runcit keseluruhan Ford membantu syarikat itu kekal pada kedudukan yang baik untuk mencatat rekod jualan tahunan terbaik di Malaysia.
“Menerusi barisan kenderaan Ford yang semakin bertambah di Malaysia dan jumlah pelanggan yang semakin meningkat, kami sedang berusaha untuk membaiki tawaran selepas jualan serta mengembangkan lagi rangkaian pengedar, sekali gus dapat memberikan pengalaman pemilikan dan perkhidmatan pelanggan terbaik,” katanya. – BERNAMA