BANGALORE – Denmark mempunyai sistem pencen terbaik dunia, diikuti Australia dan Belanda manakala China, India, Jepun dan Korea Selatan antara yang terburuk, demikian dapatan kaji selidik firma perunding, Mercer.
Amerika Syarikat mendapat skor C pada 57.9 daripada markah penuh 100 dalam Indeks Pencen Global merangkumi 25 negara, setara dengan Perancis, Poland dan Afrika Selatan.
Tiga negara terbaik berkenaan mengekalkan kedudukan mereka sejak 2013 apabila Denmark mendapat 82.4 mata, Australia (79.9) dan Belanda (79.2). Kedudukan berkenaan adalah berdasarkan beberapa perkiraan termasuk kecukupan, kemapanan dan kewibawaan pendapatan persaraan pencarum.
Britain di kedudukan kesembilan, di bawah Sweden, Kanada dan Chile, mengikut dapatan kaji selidik itu.
China, India, Indonesia dan Korea Selatan berada di antara kelompok terbawah dengan skor 35 hingga 50 kerana sistem tabungan pencen mereka masih dalam peringkat awal pembangunan.
Kedudukan Britain naik sedikit tahun ini dengan skor 67.6 berbanding 65.4 pada 2013 apabila memperkenalkan langkah bagi membolehkan pencarum memperoleh simpanan lebih tinggi menerusi pengenalan skim caruman automatik.
“Pengenalan skim caruman automatik boleh menyumbang kepada usaha negara itu untuk memastikan adanya sistem persaraan yang cukup dan mapan,” kata Deborah Cooper, eksekutif di Mercer.
Bagaimanapun, Mercer berkata, cadangan beberapa pihak di Britain untuk menghapuskan sekatan akses kepada caruman sebelum menjelang umur persaraan 55 dijangka memberi kesan negatif kepada skor negara itu tahun depan.
Selain itu, Britain juga merancang menghapuskan penalti cukai 55 peratus bagi pengeluaran dana persaraan sebelum umur 55.
Kaji selidik Mercer itu diterbitkan Pusat Kajian Kewangan Australia (ACFS) dan dibiayai Kerajaan Negeri Victoria, Australia. – Reuters

