KUALA LUMPUR – DAP mahu melancarkan gerakan anti cukai barang dan perkhidmatan (GST) di Labis dan Pontian di Johor dalam tempoh terdekat.
Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong berkata, dua kawasan itu dipilih kerana ia merupakan kawasan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Mazlan dan Datuk Chua Tee Yong.
“Negeri Johor mempunyai dua Ahli Parlimen yang menyandang jawatan Timbalan Menteri Kewangan, iaitu Ahli Parlimen Labis dan Ahli Parlimen Pontian.
“Bagi memberi tekanan yang berkesan kepada kerajaan, DAP Johor akan melancarkan gerakan anti GST di kawasan Labis dan Pontian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Chin Tong mendakwa. GST adalah sejenis cukai yang regresif di mana ia akan menyebabkan kemelesetan ekonomi tidak mengira kaum terutamanya kepada peniaga-peniaga kecil tempatan.
Justeru, katanya, pelancaran kempen anti GST di Labis dan Pontian diharap memberi kesedaran kepada penduduk kawasan tersebut memberi tekanan kepada dua Ahli Parlimen tersebut. – mynewshub.cc