AHMAD Afif Amran menjelaskan dia tidak mahu terlalu memikirkan tentang perebutan takhta keseluruhan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS sekalipun peluang kembali terbuka buat pelumba muda tersebut setelah meraih gelaran juara CP130 di Teluk Intan minggu lepas menjelang Pusingan 8 di Kangar, Perlis pada 18 dan 19 Oktober ini.
Sebaliknya, pelumba PETRONAS Yamaha-CKJ itu lebih selesa dianggap pelumba ‘underdog’ dengan mengalihkan perhatian kepada dua pelumba berpengalaman, Mohd Zaqhwan Zaidi (Givi Honda Yuzy Racing) dan Norizman Ismail (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) yang dianggap sebagai calon paling layak bergelar juara keseluruhan pada tahun ini.
Selepas aksi suram pada dua perlumbaan lepas di Temerloh (Pusingan 5) dan Kluang (Pusingan 6), Afif kembali menjejakkan diri di atas podium dengan menewaskan Zaqhwan selepas memintas pelumba tersebut di selekoh terakhir untuk meraih gelaran juara buat kali kedua pada musim ini selepas melakukannya pada pusingan ketiga di Terengganu, Mei lepas.
Kemenangan tersebut membolehkan pelumba kelahiran Terengganu itu naik ke tangga ketiga keseluruhan dengan kini hanya 22 mata membezakan dia dengan Zaqhwan yang mendahului kedudukan dengan 120 mata manakala Norizman di tangga kedua dengan 109 mata ketika perlumbaan hanya berbaki tiga pusingan sahaja lagi.
“Kemenangan di Teluk Intan memberi satu motivasi penting kepada kami sepasukan. Kami gembira dengan kejayaan tersebut namun pada masa sama tetap menghormati keupayaan pasukan lain, tambahan pula saya masih baru dalam kelas CP130 ini. Saingan pada baki tiga pusingan terakhir selepas ini pasti semakin sukar kerana semua pasukan dan pelumba akan berhempas pulas untuk meraih keputusan terbaik bagi memastikan dapat berada di kedudukan terbaik pada penghujung musim nanti,” jelas Afif.
“Saya tidak mahu terlalu meemikirkan tentang gelaran keseluruhan. Apa yang menjadi keutamaan adalah untuk meraih keputusan terbaik dalam setiap perlumbaan. Jika pada perlumbaan terakhir nanti saya masih ada peluang untuk merebut gelaran tersebut, barulah saya akan mencuba sedaya upaya untuk mendapatkannya. Apa yang penting ketika ini adalah persediaan dan strategi untuk perlumbaan pusingan akan datang di Kangar, Perlis memandangkan sudah beberapa tahun perlumbaan tidak berlangsung di sana,” jelas Afif.
Mengulas tentang aksinya setakat ini, Afif berkata, “Semuanya berjalan dengan baik dan tanpa disangka, saya telah berjaya meraih dua gelaran juara setakat ini. Saya gembira dengan persaingan sengit dalam kelas perdana ini dan berharap dapat mencapai keputusan lebih baik pada masa akan datang.”
