TUMPAT (Kelantan) – Di tepi kiri jalan menghala ke Kawasan Bebas Cukai di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor di sini, setiap Jumaat ramai golongan lelaki berkumpul di situ dan melihat pertandingan kicauan burung candik.
Hari ini, kira-kira 120 ekor burung mengambil bahagian.
Burung candik memang terkenal dengan bunyi kicauannya yang merdu dan ia menjadi antara pertandingan burung yang sering diadakan di sekitar negeri Kelantan.
Di Pengkalan Kubor, Tumpat di sinilah lokasinya diadakan pertandingan yang dikenali “Pertandingan Seni Suara Merbah Jambul (Marathon)” atau burung candik dengan yuran antara RM5 hingga RM25 untuk pendaftaran.
Hadiah yang ditawarkan untuk pemenang bukan calang-calang tetapi sebuah televisyen LCD, mesin basuh dan sebuah basikal. Jika gagal, pemain burung akan menerima sebuah hamper sebagai hadiah.
Menurut penganjur pertandingan, Nor Aida Roslan, ada pertandingan di kawasan lain dibuat dengan penyertaan lebih ramai pemain burung dan hadiah yang ditawarkan ada kalanya kereta dan motosikal.
Pertandingan diadili dengan burung paling kerap berbunyi dan paling kuat dalam satu tempoh tertentu iaitu kira-kira 18 saat dan ia berlangsung dalam masa dua atau tiga jam sahaja.
Cara pengadil menentukan 18 saat memang unik ialah dengan menggunakan mangku yang ditebuk lubang di bawahnya, saat mangkuk itu tenggelam, dalam tempoh masa itu burung mana dari sangkar mana yang berbunyi.
Setiap sangkar ditandakan dengan kad bod bertandakan nombor burung masing-masing bagi memudahkan pengadil merekodkan burung mana yang berkicau.
Menurut beberapa pemain burung yang ditemui, hampir seluruh orang lelaki di kawasan Pengkalan Kubor ada memelihara burung candik.
Selain pertandingan burung candik, ada juga diadakan pertandingan burung terkukur tetapi burung candik merupakan burung yang popular dalam pertandingan di Kelantan atau ia turut dipanggil Merbah Jambul.
Pertandingan burung candik yang diadakan hari ini turut menjadi tumpuan orang ramai khususnya dari luar Kelantan yang hadir memeriahkan lagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pengkalan Kubor yang akan berlangsung pada 25 September ini.
http://youtu.be/jm9aO-9U-EM
Kebanyakan yang hadir dari luar negeri Kelantan belum pernah menyaksikan pertandingan burung sebegitu dari jarak dekat dan menikmati bunyi kicauan mereka yang merdu.
PRK DUN Pengkalan Kubor akan ditandingi calon tiga penjuru dari Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary. – MYNEWSHUB.CC
Oleh : IBNU K | Foto dan Video : RIZA RAZAK

