KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) memberi amaran kepada guru-guru untuk tidak bersubahat dengan pihak yang membocorkan kertas peperiksaan awam.
Memetik laporan Astro Awani, Presidennya, Hashim Adnan menyifatkan tindakan itu sebagai bersekongkol dengan penjenayah serta tidak jujur dan amanah.
“Kalau guru juga menjadi agen penyebaran maklumat salah dan didapati terbukti memang guru terlibat secara langsung dalam perkara ini, maka mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib,” kata Hashim kepada Astro Awani.
Dalam pada itu, NUTP sedia bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Lembaga Peperiksaan untuk menyiasat jika terdapat guru yang terlibat secara langsung atau bersubahat dalam pembocoran soalan peperiksaan itu.
Pada masa sama, Hashim juga menyarankan pihak berkuasa agar mempertingkatkan langkah-langkah keselamatan kertas peperiksaan bagi mengelak perkara sebegini berulang kembali. :MYNEWSHUB.CC
Oleh: SYA

