KANGAR – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) meneruskan tradisi dengan menganjurkan Larian Utara 2014 (LU14) untuk menggalakkan budaya bersukan dalam kalangan masyarakat.
Larian itu yang akan berlangsung pada 21 Sept sempena Festival Konvokesyen UniMAP ke-9 adalah antara inisiatif UniMAP dalam menyokong kempen #FitMalaysia yang dilancarkan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaludin.
Menurut Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin, penganjuran LU14 merupakan komitmen berterusan UniMAP dalam menyokong dasar 1Murid 1Sukan dan kali ini ia turut dibuka kepada pelajar sekolah menengah dan rendah.
Katanya LU14 terbuka kepada semua peringkat termasuk kakitangan dan pelajar institusi penganjian tinggi (IPT) serta antarabangsa.
“LU14 dijadual dilepaskan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada 21 September ini, menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM20,000 serta sebuah basikal kepada pemenang setiap kategori,” kata Kamarudin dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata LU14 terbahagi kepada kategori terbuka lelaki dan wanita, terbuka IPT lelaki dan wanita, Sekolah Menengah lelaki dan wanita serta tertutup pelajar UniMAP lelaki dan wanita.
Bersempena LU14, UniMAP turut menganjurkan Autisme Charity Walk sejauh 5 kilometer yang dijadual diketuai Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khaleel, kata Kamaruddin.
Borang penyertaan boleh diperolehi di Sekretariat LU14, Pusat Sukan UniMAP, Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra, Kampus Pauh Putra, 02000 Arau, Perlis atau hubungi 04-9885447/04-9885443; 012-2949801 (Nazmizan Muhammad)/019-3311226 (Puan Ina Khalil.
Borang penyertaan juga boleh dimuat turun dari laman web rasmi LU14 www.larianutara.com dan perlu dihantar kepada sekretariat melalui nombor faks 04-9885444. Tarikh tutup penyertaan 15 Sept.- BERNAMA
