INI adalah satu artikel yang menarik untuk kami kongsikan bersama. Artikel yang bertajuk “Penulis Jiwa Kosong Berlambak Di Media Sosial” yang ditulis oleh Pusat Media Institut Kefahaman Islam Malaysia, Dr Nik Roskiman Abdul Samad yang dipetik dari portal BH Online.
Baru-baru ini, ulama terkenal, Sheikh Hamza Yusuf Hanson ditemubual secara eksklusif oleh IKIMfm.
Antara intipati temubualnya itu, ulama Sheikh Hamza memuji umat Islam di Malaysia kerana masih memiliki identiti yang kukuh dan terus mempertahankan manhaj Ahlul Sunnah Wal Jamaah.
Bagi beliau, umat Islam Malaysia belum dirosakkan oleh anasir luar seperti negara Islam lain yang terpengaruh dengan pasca modernisme dan menyeru supaya dipertahankan tradisi ini daripada ancaman yang salah dan tidak menepati sunah.
Sheikh Hamza yang disenaraikan sebagai ulama paling berpengaruh di dunia Barat oleh Prof John Esposito dalam bukunya, The 500 Most Influential Muslims. Beliau datang ke Malaysia atas undangan Institut Antarabangsa Pengajian Islam Lanjutan (IAIS) dan Al-Naqiy Solutions.
Beliau berpandangan apa sahaja masalah yang berlaku berpunca daripada krisis ilmu pengetahuan yang menjadi punca utama kepada krisis yang lain.
Katanya, penulis terkenal Amerika Syarikat, Mark Twain yang pernah melawat Palestin dan Florence Nightingale yang pernah tinggal hampir dua tahun di Mesir serta Turki tidak pernah menganggap umat Islam sebagai pengganas atau berpandangan jahat terhadap Islam. Sebaliknya, mereka memuji umat Islam dan agama Islam.
” Oleh itu, bagaimana mungkin orang yang hidup lebih 100 tahun dahulu boleh melihat Islam itu positif, sedangkan hari ini tiada langsung kebaikan mengenai Islam. Itulah yang dikatakan krisis ilmu pengetahuan,” katanya.
Beliau turut mengungkapkan pandangan Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas yang membicarakan berhubung ‘kejahilan biasa’ dan ‘kejahilan berganda’.
“Anak-anak biasanya tergolong dalam jahil biasa dan ini lambang keikhlasan serta kejujuran terhadap keilmuan yang dimiliki. Tetapi hari ini ramai yang jahil, namun berlagak alim dan mempunyai ilmu pengetahuan, inilah yang dikatakan jahil berganda,” katanya.
“Penyakit ini apabila ramai yang mendakwa mengaku mengetahui sesuatu, tetapi sebenarnya kosong tidak mengetahui apa-apa. Ulama kita mengajar supaya kita mengungkapkan aku tidak tahu jika kita tidak tahu kerana itu adalah sebahagian daripada ilmu,” katanya.
Ulama itu berkata, hari ini ramai yang menulis kosong tanpa ilmu di media sosial.
“Ada menggunakan nama palsu dengan identiti yang disembunyikan seolah-olah malaikat tidak mengetahui siapa penulis sebenar. Hari ini juga, untuk mengumpat tidak perlu lagi berdua seperti dahulu memadai dengan mengetuk papan kekunci komputer dan menghantarnya ke media sosial.
“Hakikatnya, mereka ini tidak akan terlepas daripada hukuman Allah SWT atas pandangan mereka menyelewengkan dan menyesatkan masyarakat,” katanya.
Sehubungan itu, Sheikh Hamza meminta umat Islam di Malaysia bersyukur atas segala nikmat yang dianugerahkan Allah SWT kerana berdasarkan pengalaman mengembara ke banyak negara Islam, negara ini jauh lebih baik daripada banyak negara di dunia.
Katanya, majoriti rakyat di Syria, Libya, Iraq yang sedang bergolak sekarang ini mengatakan mereka lebih rela kembali hidup di zaman pemerintahan Saddam Hussein atau Muammar Gaddafi yang lebih aman berbanding hari ini.
“Mana-mana kerajaan pasti ada kelemahannya, tetapi rakyat Malaysia perlu bersyukur dengan keamanan dan kemakmuran yang dinikmati supaya Allah SWT terus menambahkan lagi nikmat yang lain. Pada masa sama, terus berusaha memperbaiki keadaan yang ada,” katanya.
Lebih menyedihkan, ketika mengakhiri perbualan, Sheikh Hamza dengan perasaan sebak sambil menitiskan air mata menyatakan kesedihan kerana umat Islam hari ini sudah hilang adab dan meminta supaya mereka menghayati sabda Nabi Muhammad SAW.
“Sesungguhnya aku telah diadabkan oleh Tuhanku dan Dia memperelokkan adabku.”
Sama-sama kita fahami dan renungkan. Moga ia memberi manfaat kepada kita semua. :-MYNEWSHUB.CC
Oleh: SYA