JOHOR BAHRU – Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim hari ini berkenan merasmikan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah (PRZS) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini.
Perpustakaan itu, yang merupakan sebuah perpustakaan penyelidikan bertaraf dunia, diberi nama sempena dengan nama Canselor UTM yang keempat, yang turut mempunyai koleksi unik di Galeri Penyelidikan dan juga Galeri Raja Zarith Sofiah.
Naib Canselor UTM Datuk Ir Dr Wahid Omar berkata penubuhan perpustakaan itu dilihat sebagai pemangkin kepada pembentukan gedung ilmu selaras dengan usaha UTM untuk meningkatkan tahap pengetahuan masyarakat secara umumnya.
Beliau berkata galeri penyelidik di perpustakaan itu mempunyai data serta maklumat hasil kejayaan penyelidik-penyelidik tersohor di universiti itu.
“Kami mahu menghargai ketokohan serta sumbangan mereka yang telah mendapat pengiktirafan di peringkat nasional dan global,†kata beliau kepada pemberita di sini, hari ini.
Wahid berkata kewujudan galeri itu adalah antara usaha UTM untuk menarik minat masyarakat terutamanya generasi muda terhadap budaya penyelidikan dan inovasi.
Sementara itu, galeri Raja Zarith Sofiah merupakan sebuah galeri istimewa yang menyimpan koleksi hasil karya dan koleksi peribadi Raja Zarith Sofiah.
“Saya dan warga UTM berasa amat bertuah kerana perpustakaan ini turut mempunyai galeri yang istimewa dan koleksi yang sangat bermakna bagi membuktikan kecintaan Raja Zarith Sofiah terhadap budaya ilmu dan perkembangan intelektual,” kata beliau.
Di samping itu, beliau yakin koleksi ini mampu menarik minat masyarakat umum untuk memanfaatkan sebaik mungkin serta bakal menjadi rujukan kepada generasi yang akan datang.- BERNAMA
