BATU PAHAT – Dewan Ulama PAS mencadangkan supaya parti itu menerima keputusan istana sekiranya calon daripada parti itu dipilih menjadi Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Cadangan Dewan Ulama itu disuarakan oleh Naib Ketuanya Datuk Dr Mahfodz Mohamad pada sesi penggulungan di Muktamar Pas ke-60 di Parit Raja, hari ini.
Presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah menghantar surat kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah calon Menteri Besar yang mengandungi nama Anggota Dewan Undangan Negeri daripada PAS, katanya.
“Jikalau diberi kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) kita terima, jika diberi pada PAS, kita terima. Kenapa hendak bermusuh dengan istana pulak. Ini adalah pandangan saya yang cetek,” kata beliau di sini.
Menteri Besar Selangor yang baharu dijadualkan mengangkat sumpah di Istana Alam Shah, Klang, Selasa ini.
Mengenai persoalan sama ada Presiden PAS perlu mematuhi keputusan yang telah dibuat oleh Jawatankuasa Kerja Pusat parti mengenai isu Menteri Besar Selangor, wakil Dewan Ulama itu berkata Abdul Hadi tidak perlu mematuhi keputusan jawatankuasa mengenai isu terbabit.
“Saya telah mengkaji peruntukan dan mendapati presiden tidak wajib mematuhi keputusan mesyuarat. Ketua atau khalifah mempunyai kuasa pemutus di dalam isu ini,” katanya.
Mahfodz juga berkata, usaha pembangkang untuk ke Putrajaya perlu dilakukan secara halal dan tidak boleh menggunakan kaedah yang haram di sisi Islam seperti menggunakan rasuah, memberi habuan dan lain-lain lagi.
Mengenai pelaksanaan hukum Hudud di Kelantan, orang-orang bukan Islam tidak perlu bimbang kerana pelaksanaan tidak melibatkan mereka, katanya. – BERNAMA