ALOR SETAR: Selain terkenal dengan keindahan Pulau Langkawi, rupa-rupanya banyak lagi keunikan yang tidak habis diterokai di negeri Jelapang Padi.
Sebenarnya negeri Kedah Darul Aman banyak menawarkan pelancongan bersifatkan agro pertanian dalam usaha untuk memberi pendedahan kepada pengunjung bagaimana cara-caranya sesuatu tanaman itu ditanam dan diperolehi pada setiap kali musimnya.
Antara tempat yang boleh dilawati ialah di Pusat Teknologi Mempelam Sala Kanan, Kota Sarang Semut, Alor Setar yang mana menghasilkan sebanyak 111 mempelam jenis klon tempatan dan luar negera.
Dengan keluasan 4.85 hektar, sebanyak 512 pokok telah ditanam di dalam pusat ini sejak ianya ditubuhkan pada 1997.
Menurut Pengurusnya, Osman Yusuf, pusat teknologi terbabit turut tersenarai dalam kalender pelancongan negeri Kedah sebagai salah satu tempat yang wajib dilawati sekiranya berkunjung di kawasan sekitar yang mana tujuan utamanya adalah untuk mempromosikan pelancongan agro pertanian di kalangan pelancong dalam dan luar negara.
“Selain itu, pusat ini juga dijadikan sebagai pusat rujukan maklumat berhubung dengan tanaman mempelam, mengeluarkan maklumat teknologi tanaman mempelam dengan kerjasama pihak-pihak tertentu,” katanya kepada MYNEWSHUB ketika ditemui pada sesi lawatan Sahabat Media Kedah di sini, baru-baru ini.
Menurutnya lagi, mereka turut merancang untuk menambah koleksi klon mempelam terpilih dari masa ke semasa selain menghasilkan pengeluaran anak benih mempelam untuk jualan kepada pihak yang berminat.
Jenis-jenis klon mempelam popular di sini adalah Mempelam Harumanis, Mempelam Tandop, Mempelam Epal Merah dan Mempelam Betik.
Dalam memantapkan usaha untuk menarik pengunjung, pusat ini juga turut melaksanakan Program Pengindahan kawasan agar ianya menjadi salah satu tarikan utama orang ramai jika berkunjung ke Kedah demi menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2014. – MYNEWSHUB.CC
(Antara beberapa jenis mempelam klon yang ditanam di Pusat Teknologi Mempelam Sala Kanan, Kota Sarang Semut, Alor Setar)
Oleh: JULIANA JOHAR




