TUMPAT – Calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor Mat Razi Mat Ail sentiasa mengamalkan tunjuk ajar Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar bagi memastikan kemenangan berpihak kepada BN.
Beliau berkata segala tunjuk ajar daripada penyandang DUN itu akan digunakannya untuk menarik minat pengundi di DUN berkenaan mengundi BN pada 25 Sept ini.
“Tempat-tempat orang sakit, tahlil serta kematian perlu diziarah, itu amanat Allahyarham kerana kalau ada kematian tetapi wakil rakyat tak hadir ia akan jadi buah mulut orang kampung.
“Arwah selalu ingatkan saya perkara ini dan itu sifir yang diberi olehnya dan perkara ini saya pegang,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian selepas melepaskan peserta ekspedisi ‘Real Solo Kayaking’ cabaran berkayak mengelilingi Semenanjung dari Kelantan ke Perlis oleh seorang peniaga Nadzeri Mustaffa di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Geting di sini.
Mat Razi berkata setakat ini kempen berjalan lancar dan hubungan dengan pihak pembangkang adalah baik.
“Kita bertanding dalam keadaan harmoni dan saya berasa bangga, kita akan teruskan gerak kerja sebegini.
“Saya harap baki empat hari lagi akan digunakan sebaiknya oleh pihak kita,” katanya.
Mat Razi berkata sambutan daripada penduduk kampung dan masyarakat Siam di kawasan itu juga baik sepanjang tempoh berkempen pada PRK ini.
PRK itu membabitkan pertandingan tiga penjuru antara Mat Razi, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.
PRK itu diadakan berikutan kematian Noor Zahidi pada 20 Ogos lepas.
Pada pilihan raya umum ke-13, Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan Izat Bukhary (Bebas) dengan majoriti 1,736 undi. – BERNAMA