KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan mereka hanya membanteras peniaga kecil-kecilan sahaja sebaliknya tidak mengambil tindakan terhadap peniaga-peniaga aktviti haram lain yang lebih besar skala perniagaannya.
Ini berikutan penyebaran sebuah video pergaduhan di antara seorang peniaga kecil-kecilan di sebuah tasik di sini dengan seorang anggota penguatkuasa DBKL yang menjadi viral sehingga ada pihak mempersoalkan kredibiliti DBKL dalam menjalankan tugas mereka.
Namun, sebaliknya DBKL hari ini tampil meneruskan Operasi Siri 4 Banteras Aktiviti Haram Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (OPS BAH) yang melibatkan tiga kawasan parlimen di Kuala Lumpur iaitu di Bandar Tun Razak, Bandar Sri Permaisuri dan Sungai Besi.
OPS BAH siri keempat ini disertai dengan kekuatan anggota seramai 350 orang yang terdiri daripada pelbagai agensi terlibat iaitu Kementerian Wilayah Persekutuan, Majlis Keselamatan Negara (MKN), DBKL, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), Suruhanjaya Tenaga (ST), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia (TM).
Ops tersebut mensasarkan kepada pusat siber perjudian, pusat urut tanpa lesen, aktiviti dadah, pendatang asing tanpa izin (pati) serta kegiatan maksiat dan khalwat di kawasan yang telah dikenalpasti.
OPS BAH 4 yang bermula jam 11 pagi tadi itu melibatkan sebanyak 74 premis yang beroperasi tanpa lesen serta menyalahi undang-undang pihak berkuasa tempatan.
Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Adnan Md Ikshan, operasi kali ini melibatkan lebih banyak agensi kerana membabitkan kepakaran dan kemahiran mereka dalam sesuatu bidang kerja tersebut.
Setakat petang ini sahaja, sebanyak lima buah lori DBKL dipenuhi barangan rampasan seperti komputer dan mesin perjudian daripada premis-premis yang terlibat.
“Kalau mereka (peniaga haram dan tanpa lesen) masih tegar (berdegil), perkara ini akan berterusan dan berpanjangan kerana kalau boleh kita mahu bersihkan (kegiatan haram) semuanya,” katanya ketika ditemui MYNEWSHUB semasa OPS BAH 4, di sini, hari ini.
Turut menyertai sama operasi itu ialah Ketua Aktvitis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang bersama-sama berganding bahu dalam membanteras aktiviti haram yang sering kali memburukkan imej ibu kota negara. –MYNEWSHUB.CC
Oleh: JULIANA JOHAR
Foto: HAZIQ AHMAD