KUALA LUMPUR – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) memohon supaya Kementerian Pendidikan mengkaji semula buku teks yang digunakan pelajar tingkatan peralihan di Sekolah Menengah Kebangsaan seluruh negara.
Presiden NUTP Hashim Adnan berkata pihaknya menerima aduan daripada guru yang mengajar pelajar tingkatan terbabit bahawa ada sukatan buku teks itu yang telah 10 tahun kebelakang, sekali gus menyebabkan ia tidak lagi relevan untuk digunakan.
“Disebabkan lama tidak disemak, ada di antara buku teks ini masih menggunakan istilah lama yang tidak lagi digunakan pada masa kini, dan ini menyebabkan kesukaran kepada pelajar.
“Pelajar di tingkatan peralihan sebenarnya hanya mengalami masalah tidak fasih dalam subjek bahasa kerana datang dari Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan, sedangkan rakan seusia mereka telah ke tingkatan satu” katanya pada sidang media di ibu pejabat NUTP di sini, hari ini.
Turut hadir pada sidang media itu ialah Setiausaha Agung NUTP Lok Yim Pheng.
Sementara itu, Lok memohon supaya kementerian dapat mengkaji isu kuarters perguruan, khususnya untuk guru yang ditempatkan di kawasan pedalaman seperti di Sabah, Sarawak, Kelantan dan di kepulauan.
Isu kekurangan kuarters atau kesukaran mendapatkan rumah yang sesuai menyebabkan beberapa guru di kawasan pedalaman perlu mencari alternatif termasuk membina rumah sementara sebagai penempatan keluarga mereka, tambah Lok.
“Bagi guru yang ditempatkan di kawasan bandar seperti di Kuala Lumpur berhadapan dengan masalah sewa rumah yang mahal jika tidak mendapat kuarters, selain perlu membayar kos sara hidup yang tinggi,” katanya.
Lok menambah guru yang baru tamat pengajian antara golongan yang paling terkesan dengan masalah ini memandangkan gaji permulaan mereka sekitar RM2,000 sebulan.
Selain itu, NUTP juga memohon supaya pelaksanaan subjek Bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2016 dilakukan secara berperingkat.
Ini kerana pihaknya merasakan tidak semua pelajar bersedia ke arah langkah itu, sedangkan SPM merupakan peperiksaan awam yang akan menentukan perjalanan pendidikan seseorang selepas tamat persekolahan.
“Mungkin ada pelajar yang lemah dalam Bahasa Inggeris, namun mendapat keputusan bagus dalam mata pelajaran lain, dan mereka ini seharusnya diberi peluang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang itu di pusat pengajian tinggi,” katanya.
Sehubungan itu, Lok mencadangkan supaya keputusan SPM kepada pelajar yang gagal subjek Bahasa Inggeris dikeluarkan berbeza daripada pelajar yang lulus supaya sijil itu boleh digunakan untuk mengisi borang bagi melanjutkan pelajaran.
Langkah ini dilihat dapat mengelakkan pelajar terbabit daripada perlu menunggu selama setahun untuk mengulangi SPM, atau menduduki Kertas Julai, tambahnya.
“Pelajar yang gagal ini boleh diberi sijil sama seperti sijil lepasan SPM yang lain apabila mereka lulus subjek Bahasa Inggeris pada percubaan seterusnya,” katanya.
Pada 6 Sept 2013, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan mengumumkan subjek Bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus pada pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. – BERNAMA
