BATU PAHAT – Ucapan Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia PAS (LUHAM) Mohamed Hanipa Maidin terhenti selepas beberapa perwakilan bangun membantah pandangannya tentang isu Menteri Besar Selangor.
Beberapa perwakilan bangun membantah apabila beliau yang juga peguam parti menegaskan PAS tidak sepatutnya menerima jawatan Menteri Besar itu kerana ia akan menunjukkan parti Islam itu telah memungkiri janjinya dengan Pakatan Rakyat (PR).
“Kita (PAS) tidak boleh membuat keputusan berdasarkan teriakan dan takbir. Kita hendaklah gunakan pandangan yang rasional dengan mengambil kira dan memahami isu.
“Jikalau kita terima jawatan, pertamanya kita tidak dapat lari daripada dituduh sebagai memungkiri janji,” katanya ketika sesi penggulungan pada Muktamar PAS ke-60 di Parit Raja, di sini hari ini.
Daripada sudut perundangan pula katanya, jikalau PAS menerima jawatan Menteri Besar itu tanpa memperoleh majoriti, parti terbabit bakal mengetuai kerajaan negeri yang lemah dan goyah berikutan ketiadaan sokongan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
Pada ketika ini, dewan muktamar semakin hangat dengan teriakan supaya Mohd Hanipa menghentikan ucapannya sehingga menyebabkan Timbalan Pengerusi Tetap Hussein Ismail terpaksa campur tangan untuk menenangkan keadaan dan meminta Mohamed Hanipa meneruskan ucapan.
Menurutnya jika parti tetap menerima jawatan Menteri Besar Selangor, terdapat kemungkinan besar, rakan-rakan dalam Pakatan, PKR dan DAP tidak akan menyokong langkah PAS itu menyebabkan kemungkinan pilihan raya negeri diadakan.
“(Jika PAS terima jawatan Menteri Besar), kita akan menghadapi masalah yang pada akhirnya akan mengakibatkan pilihan raya negeri Selangor,” katanya, sambil disambut teriakan bantahan daripada perwakilan.
Perwakilan turut membantah ucapan Mohamed Hanipa apabila beliau cuba menjelaskan pandangan kontroversi LUHAM sebelum ini yang mengatakan Presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak mempunyai kuasa veto untuk menyelesaikan isu Menteri Besar Selangor.
Beliau menyatakan pandangan itu adalah berdasarkan kajian terhadap perlembagaan parti yang dilakukan oleh anggota LUHAM dan tidak bermakna ia tidak menyokong Majlis Syura Ulama atau cuba mengambil alih kuasa majlis itu.
Terdahulu Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS Dr Dzulkefly Ahmad dalam ucapan penggulungannya menegaskan pandangan pengarah operasinya, Dr Zuhdi Marzuki tentang beberapa pemimpin tinggi parti itu yang tersebar meluas menerusi aplikasi WhatsApp baru-baru ini, merupakan pandangan peribadi beliau.
Beliau berkata sebagai seorang ahli akademik, Zuhdi mempunyai hak untuk mengeluarkan pandangan peribadi termasuk menerusi penulisan atau aplikasi teknologi terkini yang lain.
“Sebagai pengarah operasi Pusat Penyelidikan PAS, beliau (Zuhdi) mempunyai hak untuk melontarkan pandangan peribadi tentang sesuatu isu. Bagaimanapun pandangan itu tidak mewakili pandangan rasmi parti,” kata Dzulkefly.
Dalam satu tulisan Zuhdi menerusi aplikasi WhatsApp, beliau dikatakan menyindir dan menggelar beberapa pemimpin tinggi PAS sebagai ‘Ayam Daging’ kepada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sementara itu Dzulkefly juga mengatakan sebagai badan pemikir PAS, Pusat Penyelidikan parti itu katanya, mempunyai dana yang terhad untuk menjalankan tugas yang lebih berkesan seperti mengadakan kajian sebagaimana Merdeka Center, Umcedel dan sebagainya.
Dzulkefly memberi contoh, untuk menjalankan kajian pada pilihan raya kecil memerlukan belanja sekurang-kurangnya RM60,000. – BERNAMA