TUMPAT (Kelantan) – Islam mengajar umatnya supaya bersatu hati dan tidak berpecah belah serta ajaran Islam perlu diamalkan secara keseluruhan tanpa ada pilih memilih.
Perkara itu diperjelaskan oleh Pendakwah Bebas Ustaz Mohamad Kazim Elias dalam Forum Perdana Ehwal Islam bertajuk Malaysia Negara Islam? di Sekolah Menengah Kebangsana Geting, di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor malam tadi.
“Ayat Al-Quran ada sebut, “Masuklah kamu semua di dalam Islam secara keseluruhan, jadi ada orang faham secara keseluruhan tu apa? Ada orang faham secara keseluruhan tu kena buat hukum hudud baru seluruh.
“Bila buat hudud baru dikira sebagai keseluruhan, tak buat hudud tak dikira keseluruhan,” katanya.
http://youtu.be/FqeLXbwKIoI
Bagaimanapun, Ustaz Kazim berkata selain hukum hudud Islam juga mengajar umatnya supaya tidak berkata buruk kepada orang lain khususnya menabur fitnah demi kepentingan sendiri.
“Islam mengajar kita tak mengumpat, tak mencarut, tak maki orang, tak membodohkan orang, tak memfitnah orang, kalau kata nak masuk Islam secara keseluruhan masuk habis.
“Jangan menggelarkan orang dengan gelaran yang buruk-buruk, kalau nak masuk Islam secara habis-habis Allah juga berpesan kepada kita, jangan berpecah-belah,” kata Ustaz Kazim dalam forum berkenaan.
Beliau berkata jika seseorang manusia itu mencari jahat orang lain, biasanya orang itu akan menemui kejahatan orang lain kerana untuk mencari kesalahan orang begitu mudah.
Dalam kata-kata Ustaz Kazim itu merujuk kepada parti PAS yang tidak henti-henti menabur fitnah dan memaki Barisan Nasional (BN) ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pengkalan Kubor.
Biarpun tidak menjelaskan secara terperinci parti itu, tetapi dari 4,000 penonton yang hadir mereka sendiri yang tahu bahawa Ustaz Kazim merujuk kepada parti PAS.
Forum itu dianjurkan oleh Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) dan Yang diPertua YADIM Senator, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut menjadi ahli panel pada malam itu.
PRK DUN Pengkalan Kubor menjadi misi PAS untu merampas kerusi DUN berkenaan yang disandang BN sebelum ini selepas Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar meninggal dunia pada 20 Ogos lepas.
Calon BN, Mat Razi Mat Ail, akan berhadapan dengan calon PAS, Wan Rosdi Wan Ibrahim dan seorang calon bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary. – MYNEWSHUB.CC
Oleh : IBNU K | Video : RIZA RAZAK