Bayangkan dompet anda tercicir, di dalamnya terdapat kad pengenalan, tiket penerbangan, kad bank, kad touch n go’ dan pelbagai lagi barang peribadi anda yang sangat berharga.
Sudah pasti anda akan resah dan tidak senang duduk bukan? Kini, anda tidak perlu lagi menghadapi situasi sebegini dengan teknologi terbaru yang dikatakan terdapat pada iPhone6.
Segala proses pembayaran ataupun pembelian dapat dijalankan tanpa memerlukan anda mengeluarkan dompet dan segala proses ini dilakukan secara digital menerusi peranti pintar anda.
Menurut laporan daripada laman web Recode , Apple telah mengadakan persetujuan dengan America Express untuk bekerjasama dalam membangunkan platform pembayaran Apple terbarunya yang dikatakan akan diumumkan dalam bulan September.
Dikhabarkan iPhone 6 yang akan dilancarkan tidak lama lagi akan dilengkapi cip NFC dan ini membangkitkan spekulasi bahawa Apple akan membangunkan sistem platform pembayaran Apple yang akan berfungsi bersama cip NFC tersebut.
Platform ini akan berfungsi dengan cip NFC pada iPhone 6 untuk membolehkan pengguna telefon pintar tersebut membuat bayaran di kedai jualan fizikal.
Menurut laporan, platform tersebut akan diketengahkan secara besar-besaran dalam pengumuman produk Apple yang akan diadakan pada 9 September nanti.
American Express adalah rakan kongsi kedua yang telah mencapai persetujuan dengan Apple dalam pembangunan platform tersebut dengan rakan kongsi pertamanya adalah Visa.
Apple memerlukan lebih banyak lagi rakan kongsi bagi menjadikan platform ini lebih baik dari perkhidmatan lain seperti Google Wallet dan pada masa yang sama bersaing dengan perkhidmatan yang sememangnya telah teguh seperti Paypal.
Secara ringkas, apa yang dikatakan oleh sumber-sumber adalah Apple masih sedang dalam perbincangan dengan beberapa rakan niaga berpotensi lain, tetapi hanya Visa dan American Express telah dikatakan bersetuju untuk bekerjasama dengan Apple.
Apa pun, dijangka lebih banyak informasi akan dapat diperolehi selepas pengumuman rasminya di acara Apple 9 Septermber nanti.
Sumber: Forbes, Re/code
Oleh: hzqahmd