Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata proses pengendalian sampel air kencing atlet Wushu negara Tai Cheau Xuen di Sukan Asia Incheon, Korea Selatan, diragui dan akan membuat proses bantahan.
Melalui akaun twitternya, @Khairykj beliau percaya atlet wushu berkenaan telah ditarik balik pingat emas kemenangannya secara tidak adil.
[BACA – Pingat Emas Wushu Negara Ditarik Balik]
“Saya percaya proses ujian sampel itu telah dikompromi, atlet kita telah secara tidak adil ditarik semula pingat emas yang dimenangi.
“Kita akan memajukan bantahan berkenaan keputusan ini,” katanya.
Menurut Khairy, jika benar-benar atlet Malaysia bersalah kontinjen akan mengakuinya tetapi dalam soal ujian doping yang melibatkan Cheau Xuen, Majlis Olimpik Asia (OCA) gagal menjawab beberapa soalan berkaitan proses ujian yang dilakukan.
“Waktu sela masa 18 jam selepas sampel diambil dan ujian dilakukan, senarai borang berkaitan yang tidak lengkap dan tiada rekod di mana sampel air kencing itu disimpan, ada sesuatu yang tidak kena,” kata Khairy dalam tweetnya.
Beliau berkata pihak kontinjen Malaysia akan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan berkenaan kes itu.
Pingat emas yang dimenangi oleh Cheau Xuen telah ditarik balik oleh OCA selepas ujian doping ke atas sampel air kencingnya mendapati ada kandungan bahan Sibutramine, iaitu bahan terlarang dalam Senarai Larangan Agensi Anti Doping Sedunia (WADA). – MYNEWSHUB
Oleh : IBNU K


