KUALA LUMPUR — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
Tun Razak tidak menolak kemungkinan mengadakan pertemuan dengan Tun Dr Mahathir
Mohamad berhubung teguran bekas perdana menteri itu terhadap pentadbirannya.
“Apapun segala kemungkinan akan berlaku…harap ia berkesudahan dalam
keadaan yang baik untuk Umno keseluruhannya,” katanya pada sidang media selepas
mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato Onn di sini.
Najib yang juga Presiden Umno berkata demikian semasa menjawab pertanyaan
sama ada beliau akan menemui Dr Mahathir, yang menegur dasar pentadbiran beliau
menerusi blog www.chedet.cc, baru-baru ini.
Antara isu yang dibangkit bekas perdana menteri Malaysia paling lama itu
ialah Program Transformasi Ekonomi (ETP), Program Transformasi Kerajaan (GTP),
Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri
(ISA).
Menyifatkan teguran itu sebagai masalah dalaman Umno, Najib berharap ia
dapat diuruskan dan ditangani dengan sebaik-baiknya.
Najib berkata kenyataan beberapa pemimpin Umno berhubung teguran
Dr Mahathir sebelum ini, juga menunjukkan mereka memberi sokongan
penuh terhadap kepimpinan sedia ada.
“Tapi, dalam masa sama, kita hormati Tun Mahathir sebagai pemimpin yang
lebih berpengalaman,” katanya.– BERNAMA

