KUALA LUMPUR – Agensi Angkasa Negara (Angkasa) menafikan penyebaran maklumat di laman media sosial kononnya fenomena bulan berkembar dan planet Marikh membesar seperti Bulan akan berlaku pada 27 Ogos ini.
Angkasa dalam satu kenyataan media memberitahu, maklumat palsu itu sebenarnya telah tersebar sejak tahun 2003.
“Adalah dimaklumkan bahawa jarak planet Marikh adalah stabil pada orbitnya pada malam berkenaan adalah 201.69 juta kilometer (km) atau 125.28 juta batu dari Bumi, dan bukan 34.65 juta batu seperti yang dikhabarkan.
“Pada jarak ini, Marikh akan hanya kelihatan seperti sebuah bintang merah di langit alam. Marikh juga akan terbenam sekitar pukul 12 tengah malam dan oleh yang demikian ia tidak lagi kelihatan selepas waktu itu,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, maklumat palsu tentang fenomena bulan berkembar yang disebarkan dalam media sosial itu adalah gambar yang telah diolah semula oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Kata kenyataan itu, Bumi hanya mempunyai sebuah satelit semula jadi iaitu Bulan yang sentiasa dapat dilihat.
Jelas kenyataan itu, keadaan Bulan pada malam tersebut pada fasa bulan pada fasa anak Bulan dan bukan Bulan penuh seperti yang dinyatakan dalam mesej-mesej tersebut.
Tambah kenyataan itu, Bulan akan terbenam awal pada hari tersebut iaitu sekitar pukul 8:30 malam dan tidak lagi kelihatan pada pukul 12 tengah malam seperti yang ditulis dalam rantaian mesej berkenaan.
“Fasa bulan penuh yang terdekat adalah pada 11 Ogos 2014 dan 9 September 2014. Oleh fenomena yang didakwa itu adalah tidak benar sama sekali dan tidak akan berlaku, jauh sekali untuk berulang pada masa akan datang.
“Kelemahan helah ini adalah kepada ketiadaan sumber penulis dan rujukan dari hasil penulisannya. Masyarakat harus lebih bijak dalam menyampaikan berita dan mencari kesahihan sebelum memanjang-manjangkan berita palsu seperti ini,” tegas kenyataan itu.