Mengapa Wanita Tidak Perlukan Mentor Untuk Berjaya

Dalam dunia yang didominasi oleh kaum lelaki, adakalanya agak sukar bagi pendapat seorang wanita untuk didengari. Anda akan sering dipandang rendah dan dipandang seperti tidak berupaya untuk melakukan apa-apa yang signifikan kepada organisasi.

Sebenarnya, pada satu ketika, kebanyakan syarikat mengamalkan budaya patriarki dan bersifat seksis.Semakin tinggi posisi anda di dalam syarikat tersebut, semakin suara anda ditindas.

Namun, zaman telah berubah dan kaum wanita semakin berani untuk mengorak langkah mencaturi kerjaya mereka sendiri. Dengan populariti figura usahawanita berjaya hari ini seperti pengasas Fashion Valet Vivy Yusof, pemilik perniagaan beras Faiza Marketing Faiza Bawumi Sayed Ahmad dan pengasas PurelyB.com, Raja Jesrina Arshad, mereka telah membuktikan bahawa wanita juga boleh mendukung kerjaya sendiri tanpa bantuan sesiapa untuk dijadikan suri teladan.

Jangan risau. Anda juga boleh jadi seperti mereka,jika anda mengikuti langkah-langkah yang diberikan oleh Kathy Bloomgarden, CEO Ruder Finn, sebuah syarikat perhubungan awam terkemuka di New York, Amerika Syarikat:

1. Suara anda berharga, jadi anda berhak untuk mengutarakan pendapat

Pengasas label hijab Naelofar, Neelofa Mohd. Noor. Kredit gambar: The Star Online.

Sentiasa beringat bahawa anda berupaya untuk melakukan apa sahaja jika anda benar-benar percaya pada kemampuan sendiri. Berhujahlah untuk menegakkan kepakaran dan kelebihan anda di dalam syarikat itu serta mula melakukan sumbangan dalam penyelesaian masalah.

Bukan mahu ajak bergaduh, tetapi berdebat secara sihat untuk memastikan cadangan anda boleh dimanfaatkan oleh organisasi.

2. Jika tiada siapa menyokong anda, gandakan usaha

Pengasas portal kesihatan PurelyB, Raja Jesrina Arshad. Kredit gambar: shape.com.my

Mempunyai seorang mentor untuk menjadi pendorong karier anda sebenarnya menjadikan anda lebih bergantung harap kepadanya. Dan apabila jadi begitu, sudah tentu anda tidak mahu cuba untuk mencabar kemampuan diri anda, terang Bloomgarden.

Seperti yang dikatakan oleh aktres Hollywood Julia Roberts tentang rahsia kejayaannya: “Tidak mempunyai mentor untuk memberikan kata-kata semangat bila-bila masa kita perlukannya merupakan satu bentuk pengajaran yang membentuk kehidupan kita. Adakalanya, menjadi orang yang tidak diendahkan boleh memberi impak yang lebih baik berbanding orang yang disanjungi sentiasa.”

Apabila anda terpaksa berusaha lebih kuat, secara automatik anda akan lebih bersemangat untuk mencapai lebih daripada potensi diri. Malah, sebenarnya masa-masa yang anda kecewa atau putus harapanlah adalah masa yang anda akan lebih bermotivasi untuk menyahut apa jua cabaran!

3. Tonjolkan diri dengan personaliti anda yang unik dan tersendiri

Pengasas laman e-perniagaan Fashion Valet, Vivy Sofinas Yusof. Kredit gambar: SAYS.com

Walaupun ada pepatah yang mengatakan,”Pakaian melambangkan peribadi”, namun pada era sekarang ini bukanlah apa yang disarungkan pada tubuh yang manjadi ukuran, tetapi kualiti-kualiti personaliti yang istimewa, pengetahuan yang unik dan rangkaian hubungan sosial yang menyerlahkan diri anda.

Bloomgarden menjelaskan bahawa kebolehannya untuk bertutur dengan fasih dalam bahasa Mandarin dan Rusia memberikan ciri keunikan kepadanya di dalam dunia korporat.

“Saya sentiasa menggunakan latar belakang pendidikan saya sebagai pemicu untuk ‘pecah masuk’ ke dalam pasaran yang sukar iaitu China dan Rusia.

“Ianya satu yang pelik dan jarang didengari untuk seseorang yang baru menapak di dalam kerjaya perniagaan untuk mempunyai pendedahan terhadap pasaran-pasaran ini, dan saya merasakan bahawa kebolehan saya ini memisahkan saya daripada orang lain,” kata Bloomgarden lagi.

Identiti tersendiri merupakan ciri menarik yang akan menyerlahkan anda daripada orang lain. Memupuk kebolehan unik anda bukan sahaja memperkukuhkan perwatakan, malah menonjolkan personaliti dan apa yang istimewa tentang pendapat yang diutarakan.

4. Jika semuanya tidak berhasil, cipta peluang sendiri

Cheryl Yeoh, CEO Pusat Inovasi Global & Kreativiti Malaysia (MaGIC). Kredit gambar: Vulcan Post.

Jika budaya di tempat kerja anda tidak begitu menyenangkan untuk wanita, walauoun anda telah melakukan segalanya dengan bersungguh-sungguh dan mengikut segala yangtelah diarahkan, mungkin ini adalah masa yang terbaik untuk anda beralih angin.

“Kita hidup di dalam zaman di mana pasaran dunia sentiasa berubah-ubah dan bergerak dengan pantas. Dengan peluang yang terlalu banyak untuk direbut, mungkin anda boleh katakan ‘Sayonara’ kepada kerjaya sekarang dan mula meneroka bidang lain pula.

“Hidup ini perlu sentiasa lakukan perubahan. Jika anda tidak lagi mampu bertahan dengan persekitaran pejabat anda, jadilah lebih berani dan beralih kepada kerjaya yang lebih memberikan kepuasan kepada diri anda,” jelas Bloomgarden.-VVANITA.MY

Loading...