Kenali Jenis Gula: Elak Obesiti, Sakit Jantung & Barah

BOLEH dikatakan hampir kesemua benda yang kita makan dalam kehidupan seharian mempunyai gula. Tak kisah lah ianya coklat, air berkabonat ataupun makanan sihat seperti tomato dan buah epal.

Sama ada anda sukakan benda manis atau tidak, gula memang memainkan peranan yang penting dalam kehidupan seharian!

Tetapi, apa yang penting untuk anda tahu ialah, setiap gula berlainan dan ia diproses oleh tubuh dengan cara yang berbeza. Ada gula ‘baik’ yang sangat diperlukan oleh badan kita dan ada juga gula ‘jahat’ yang boleh menyebabkan obesiti, sakit jantung dan barah.

Amatlah penting untuk anda mengetahui jenis gula yang diambil kerana ia mampu menyelamatkan nyawa dan juga bentuk badan anda.

Kami senaraikan empat kategori gula yang selalu kita jumpa, hampir setiap hari!

1- Glukosa

Ini merupakan gula yang paling asas dan ia terdapat dalam setiap sel tubuh badan manusia. Glukosa juga dijumpai dalam makanan yang mempunyai unser karbohidrat seperti roti, cendawan, mee dan susu.

Tubuh manusia akan mengurai semua jenis gula kepada glukosa yang akan digunakan sebagai tenaga. Glukosa merupakan gula ringkas dan dipanggil gula darah kerana ia sentiasa bergerak melalui salur darah di dalam badan.

2- Fruktosa

Fruktosa pula sejenis gula yang juga merupakan gula ringkas dan berapa dalam kebanyakan sayur-sayuran dan buah-buahan.

Madu asli juga mengandungi fruktosa!

Walaupun frukosa merupakan gula ringkas, ia lebih sukar diuraikan berbanding glukosa kerana ia perlu diproses oleh hati sebelum ditukar menjadi tenaga. Ia lebih kepada bersifat lemak berbanding karbohidrat, tidak mengawal penghasilan insulin dan ia tidak membebaskan hormon ghelin yang bersifat mengawal tenaga dan rasa lapar.

3- Sukrosa

Ia merupakan gula gabungan antara glukosa dah fruktosa, dalam nisbah 50:50 dan lebih dikenali sebagai gula pasir yang dihasilkan daripada tebu atau bit gula yang ditanam di seluruh dunia.

Apabila kita mengambil makanan yang mengandungi sukrosa, ia perlu diproses menggunakan dua-dua kaedah dimana glukosa akan terus ditukar menjadi tenaga dan fruktosa pula dihantar ke hati untuk diproses sebagai penyimpanan lemak.

4- Sirap jagung berfruktosa tinggi

Ini merupakan gula yang paling popular dan sering digunakan dalam makanan sebagai bahan pemanis. High-fructose corn syrup (HFCS) dihasilkan daripada jagung dan mempunyai kepekatan sehingga mencecah 90% fruktosa.

Sama seperti sukrosa, badan manusia juga akan memproses glukosa menjadi tenaga dan yang selebihnya akan disimpan sebagai lemak untuk digunakan sebagai tenaga pada masa akan datang.

HFCS juga penyebab badan tiba-tiba berasa amat letih kerana terlalu banyak gula dan ini dipanggil ‘sugar crash’.

KENAPA PENTING UNTUK ANDA MENGENALI JENIS GULA?

Dua kategori pertama (glukosa dan fruktosa) merupakan gula semula jadi yang terhasil daripada makanan yang anda makan. Dan ia ditemani oleh protein, serat, mineral dan vitamin yang diperlukan oleh tubuh untuk menjamin kesihatan.

Jika anda memakan sebiji epal, anda bukan sahaja mendapat fruktosa malah serat dan pelbagai jenis vitamin seperti vitamin A, B, C, fitonutrien, pektin, kuersetin dan juga flavonoid.

Ini bermakna proses penghadaman akan menjadi lebih perlahan dengan membenarkan tubuh untuk menguraikan gula perlahan-lahan secara semula jadi untuk ditukarkan menjadi glukosa.

Penyimpanan lemak juga amat sedikit kerana tubuh bukan berada dalam keadaan terburu-buru.

Sebaliknya, apabila anda mengambil sukrosa atau sirap jagung berfruktosa tinggiseperti bar coklat atau pemanis yang tidak mempunyai kandungan serat atau nutrien lain, tubuh akan tergopoh-gapah mencerna makanan itu sehingga menyebabkan gula darah melonjak naik dengan cepat.

Pankreas kemudian akan bertindak balas dengan menghasilkan insulin dengan amat banyak untuk menentang kenaikan gula dalam darah. Situasi ini akan menghentikan proses penukaran gula kepada tenaga.

ELAK OBESITI, SAKIT JANTUNG DAN BARAH

Oleh sebab itulah anda perlu mengenal pasti jenis gula yang anda ambil dalam diet seharian. Ini disebabkan gula yang diproses ini menjadi salah satu punca utama kegemukan di seluruh dunia. Seperti yang kita sedia maklum, obesiti merupakan salah satu punca penyakit kronik termasuklah kencing manis, penyakit kardiovaskular dan kanser.

Peningkatan penggunaan gula yang diproses ini mungkin disebabkan kos penghasilannya yang rendah dan amat mudah untuk ditambah ke dalam produk makanan. Namun ia amat berbahaya kerana merosakkan kesihatan umat sejagat dan mencipta generasi baru yang ketagihan gula sebegini.

Apa kata mulai dari sekarang, kurangkan pengambilan gula sukrosa dan HFCS jika anda mahukan kehidupan yang sihat. Sebaliknya, ambillah makanan yang mengandungi gula semula jadi seperti buah-buahan dan sayur-sayuran. -VVANITA.MY

Loading...