9 Cara Suami Boleh Tolong Isteri Menyusukan Anak

BAGI ibu yang memberikan anak mereka susu formula, bolehlah minta tolong suami buatkan susu. Kalau ibu yang menyusukan anak dengan susu badan bagaimana pula untuk meminta bantuan suami? Boleh ke suami tolong?
Eh, siapa kata suami tak boleh tolong isteri yang menyusukan anak dengan susu badan. Antaranya…

1- Jadi tempat sandar isteri
Memang tugas menyusukan bayi adalah tugas isteri tapi bukan bermaksud suami hanya tidur lena tak sedarkan diri pada waktu malam. Mungkin suami boleh jadi tempat isteri bersandar dan berehat semasa menyusukan bayi. Selesa sikit isteri nak menyusukan bayi. Kasih sayang pun akan bertambah.

2- Tolong buat air untuk isteri
Ibu menyusu selalunya akan berasa dahaga. Apa kata suami tolong sediakan minuman untuk isteri. Isteri akan berasa gembira dan dihargai sangat walaupun sekadar air suam.

3- Basuh peralatan pam susu isteri
ketika menyusukan bayi, kerja yang paling leceh dan lama ialah membasuh dan membersihkan segala peralatan pam payudara. Untuk bab ini, suami boleh meringankan beban isteri dengan membersihkan segala peralatan tersebut. Jadi bolehlah isteri melakukan perkara lain ataupun berehat.

4- Melakukan kerja-kerja rumah
Jangan bebankan isteri dengan tugas-tugas rumah tangga. Suami juga boleh membantu isteri melakukan kerja-kerja membasuh pakaian, mengemas rumah, menyapu lantai, membasuh pinggan dan mungkin juga memasak. Isteri boleh tumpukan perhatian untuk menyusukan si kecil tanpa memikirkan pakaian yang belum tersidai.

5- Menguruskan anak yang lain
Yang ada anak lebih daripada seorang, suami tolonglah uruskan keperluan anak-anak yang lain. Jangan biarkan isteri juga yang menguruskan keperluan mereka. Ia hanya akan membuatkan ibu rasa tertekan dan terbeban. Seterusnya mengganggu kelancaran susu untuk keluar.

6- Kejut isteri bangun menyusukan bayi
Jika anak menangis di tengah malam, suami jangan buat-buat tak dengar dan tidur ‘mati’. Suami sepatutnya bangun dulu untuk periksa sama ada lampin si kecil sudah basah atau hendak susu.

Jika lampin perlu ditukar, tak perlu kejutkan isteri sebaliknya anda boleh buat sendiri. Kemudian barulah kejutkan isteri untuk menyusukan bayi.

7- Uruskan bayi selepas menyusu
Suami juga boleh membantu isteri menguruskan anak selepas disusukan seperti sendawakan anak (bayi baru lahir), mendukung, mandikan atau tidurkan bayi. Biasanya ibu akan rasa sedikit penat selepas menyusukan anak. Jadi isteri perlu berehat seketika.

8- Jaga mood isteri
Suami perlu tahu, isteri yang gembira dan bahagia dapat menghasilkan susu yang banyak dan berkualiti untuk anak. Jadi, jangan sakitkan hati isteri dan jangan cari pasal dan menyebabkan mood isteri terganggu. Sentiasa berusaha untuk ceriakan isteri anda.

9- Rajin cari info tentang penyusuan
Bukan isteri sahaja yang perlu mencari info dan ilmu tentang penyusuan sebaliknya suami juga perlu tahu tentang ilmu penyusuan. Sekurang-kurangnya adalah pengetahuan bagaimana proses penyusuan berlaku. Barulah boleh bagi sokongan kepada isteri. –VVANITA.MY

Loading...