Zuraida Belum Terima Notis Saman Saifuddin

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, mendakwa belum menerima notis tuntutan atau saman daripada Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Setiausaha Politik Zuraida, Nor Hizwan Ahmad, dalam satu kenyataan hari ini berkata, laporan media mengenai surat saman itu dianggap bersifat manipulatif terhadap situasi yang berlaku ketika ini.

“Zuraida kini berada di luar kawasan atas urusan kerja dan beliau sendiri mengesahkan tiada sebarang bentuk notis atau surat saman diterimanya daripada pihak Saifuddin seperti yang dimaksudkan (dilaporkan),” katanya.

Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, hari ini dilaporkan menghantar notis tuntutan terhadap Zuraida kerana mengeluarkan fitnah terhadap dirinya.

Beliau merujuk kepada ucapan Zuraida pada satu majlis makan malam di sebuah hotel di ibu negara selepas berakhir Kongres Nasional PKR di Melaka, 8 Disember lalu.

Pada majlis itu, Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, antara lain mengeluarkan kritikan secara terbuka kepada beberapa pimpinan tertinggi parti termasuk presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, BH difahamkan, kakitangan dari pejabat Zuraida akan menyerahkan jawapan balas kepada surat tunjuk sebab Lembaga Disiplin PKR di ibu pejabat parti itu, esok.

“Esok serah surat disiplin ke ibu pejabat,” katanya.

Sebelum ini, Lembaga Disiplin PKR dilaporkan memberi tempoh 14 hari kepada Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang, untuk menjawab surat tunjuk sebab berkenaan. – BH Online

Loading...