Thursday, March 28, 2024

Creating liberating content

‘Saya Rayu Agar Cikgu...

KUALA TERENGGANU - ‘Akibat salah buka muka surat yang diminta, saya diherdik, dipukul,...

95 Veteran Tentera Terlantar...

MUAR: Seramai 95 orang veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang kini hidup terlantar...

Malaysia Kian Hampiri Sasaran...

JAKARTA - Atlet para Malaysia hari ini meraih dua lagi pingat emas pada...

Tiada Kes Baru Difteria...

SUNGAI PETANI - Tiada kes baru difteria dilaporkan di Kedah sehingga semalam dengan...

Zulfarhan Terbaring Dengan Balutan Di Badan – Saksi

KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Pegawai Kadet Zulfarhan Osman Zulkarnain dilihat terbaring dengan berkain pelikat dan hampir seluruh badannya dibaluti ‘bandage’ di sebuah unit pangsapuri pada 1 Jun tahun lepas.

Penolong Pegawai Perubatan Pusat Koordinasi Perubatan Kecemasan Hospital Serdang, Mohd Fadzli Sham Shafii, 36, berkata selepas melihat keadaan itu, beliau terus melakukan pemeriksaan ke atas lelaki yang berumur 20-an itu.

Saksi pendakwaan ketiga itu berkata semasa pemeriksaan tersebut, beliau mendapati mangsa tidak bernafas, tiada denyutan nadi dan tiada pergerakan anak mata hitam sebelum memaklumkan kepada pusat koordinasi perubatan yang kemudian mengarahkannya membawa mangsa ke hospital dengan segera.

“Dua tertuduh turut menemani mangsa yang tidak sedarkan diri itu bagi mendapatkan rawatan di Hospital Serdang,” katanya.

Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal yang merupakan tertuduh pertama dan Muhammad Azamuddin Mad Sofi iaitu tertuduh kedua yang secara sukarela menemani mangsa di dalam ambulans, katanya ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya, Othman Abdullah pada hari pertama perbicaraan kes membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di sini.

Enam penuntut UPNM iaitu Muhammad Akmal Zuhairi, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM, antara pukul 4.45 pagi dan pukul 5.45 pagi, 22 Mei tahun lalu.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka bersama 13 lagi penuntut lain turut didakwa atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mang­sa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mohd Fadzli Sham berkata beliau menemui kedua-dua tertuduh ketika tiba di Apartment De Centrum, Bandar Baru Bangi setelah menerima panggilan yang memaklumkan seorang lelaki tidak sedarkan diri di sebuah unit pagsapuri itu.

“Pada 1 Jun 2017, ketika saya sedang bertugas syif petang bermula 2 petang sehingga 9 malam, pusat koordinasi perubatan menerima panggilan kecemasan pada 8.28 malam mengatakan ada seorang lelaki tidak sedarkan diri di apartment itu.

“Saya bersama pemandu ambulans, Nurul Hisham, bergegas ke lokasi dan tiba kira-kira 8.40 malam. Sebaik tiba, ada seorang lelaki yang saya tidak kenal pasti sedang tunggu pihak kami di lobi dan bawa naik ke rumah di Blok B,” katanya.

Semasa menjawab soalan Othman tentang berapa individu yang berada di dalam rumah tersebut ketika beliau tiba, saksi itu berkata selain seorang lelaki yang menunggu di lobi dan membawanya ke unit pangsapuri itu, terdapat dua lelaki lain yang sedia berada di dalam rumah berkenaan iaitu lelaki sama yang menemani mangsa di dalam ambulans.

Ditanya bagaimana beliau mengetahui nama kedua-dua individu itu, Mohd Fadzli Sham berkata beliau mengetahuinya selepas melihat pendaftaran nama mereka di dalam buku pendaftaran hospital sebaik mangsa dibawa ke unit kecemasan hospital itu dan diserahkan kepada Doktor Muhd Faiq Nabil untuk rawatan lanjut.


Ketika diminta membuat pengecaman adakah kedua-dua lelaki itu berada di mahkamah hari ini, saksi itu berkata: ”Ya, Akmal hujung sekali sebelah kanan, Azamuddin saya tak berapa cam sebab dia pakai topi (pada hari kejadian),” katanya sambil menunjukkan kepada Muhammad Akmal Zuhairi yang berada di kandang tertuduh.

Saksi pendakwaan kelima, bapa Zulfarhan Osman, Zulkarnain Idrus, 54, pula sebak semasa pengecaman gambar bedah siasat anaknya dan sambil menangis berkata “ya” ketika Timbalan Pendakwa Raya, Nurakmal Farhan Aziz bertanyakan adakah gambar tersebut gambar Zulfarhan Osman.

Ibu Zulfarhan Osman yang berada di galeri awam juga dilihat menangis teresak-esak.

Terdahulu, Zulkarnain yang juga pemandu teksi dan menetap di Skudai, Johor Baharu, memberitahu bahawa pada 11.45 malam, 1 Jun 2017 semasa beliau berada di rumah, pihak UPNM menghubungi untuk memaklumkan Zulfarhan Osman telah meninggal dunia dan jenazahnya berada di Hospital Serdang, Selangor.

Katanya beliau kemudian bergegas ke hospital itu dan tiba pada 3.30 pagi, 2 Jun 2017 namun hanya dibenarkan melihat dan mengecam mayat Zulfarhan Osman kira-kira 9 pagi hari sama.

Zulkarnain berkata Zulfarhan Osman adalah anak sulungnya daripada empat beradik dan belajar di UPNM pada tahun kedua peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan elektrik.

Kali terakhir beliau bertemu Zulfarhan Osman adalah pada April 2017 ketika anaknya itu pulang bercuti selama tiga hari.

Kepada soalan Nurakmal Farhan sama ada Zulfarhan Osman pernah mengadu sebarang masalah sepanjang belajar di UPNM, saksi itu menjawab “tidak pernah.”

Ketika ditanya adakah anaknya itu memiliki komputer riba, lelaki itu berkata Zulfarhan Osman memiliki komputer riba sendiri namun tidak pasti berapa lamakah anaknya telah memiliki komputer riba itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah akan bersambung pada 28 Februari depan. — BERNAMA

Kategori