ZPP Jawab Isu Pemimpin DAP Bukan Islam Serah Zakat

BUKIT MERTAJAM – Zakat Pulau Pinang (ZPP) menjelaskan proses pengagihan dan penyerahan kit bantuan yang dilakukan oleh beberapa wakil rakyat bukan beragama Islam di negeri ini di luar kawalan agensi berkenaan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan ZPP berkata, pihaknya akan memantau keadaan itu dari masa ke semasa kerana tindakan beberapa wakil rakyat berkenaan boleh menimbulkan fitnah, selain sudah menegur pihak terbabit.

Menurutnya, Zakat Pulau Pinang dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) mengambil maklum tularnya berita di media sosial mengenai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit mengedarkan kit bantuan zakat kepada penduduk Islam yang dikenal pasti layak untuk menerima bantuan zakat.

“Ketika agihan kit bantuan berkenaan dibuat oleh pegawai seranta ADUN kepada penerima bantuan, wakil rakyat berkenaan ingin turut serta dan menyampaikan kit bantuan berkenaan kepada penerima.

“Kami difahamkan tindakan mereka (wakil rakyat bukan beragama Islam terbabit) hanya sekadar mengambil gambar penyerahan mungkin sekadar untuk informasi pengundi kawasan diwakili mereka,” katanya.

Ahad lalu, Chun Kit dalam status dimuat naik di laman Facebooknya menjelaskan kit bantuan ZPP itu diagihkan kepada penerima di Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bangkok Lane dan Kampung Herriot di Pulau Tikus.

Bagaimanapun gambar beliau menyerahkan kit bantuan mendapat kecaman daripada pelbagai pihak yang tidak bersetuju dengan penglibatannya dalam pengagihan bantuan zakat yang seharusnya dilakukan oleh orang Islam.

Mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan, ZPP berkata, sebelum ini pihaknya menerima permohonan kit bantuan Ramadan dari pelbagai pihak seperti Pusat Khidmat ADUN, Penyelaras DUN, Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen, MPKK serta NGO untuk diagihkan kepada asnaf di kawasan masing-masing.

Menurutnya, ZPP akan membuat penilaian dan tapisan senarai nama yang dikemukakan dan memastikan hanya mereka yang benar-benar layak sahaja diberikan bantuan.

“Pihak ZPP mensyaratkan setiap permohonan hendaklah disertakan dengan senarai nama lengkap penerima seperti Nama, Alamat, No Kad Pengenalan, Pendapatan dan tanggungan.

“Dimaklumkan juga permohonan daripada Pusat Khidmat ADUN diuruskan oleh pegawai seranta ADUN yang beragama Islam,” katanya. – Sinar Harian

Loading...