Zionis Guna Dadah Untuk Hancurkan Palestin

PARAH… Tidak perlu askar Israel tangkap ‘sumbat’ ke penjara atau bunuh warga Palestin tetapi generasi muda tersebut mula berjaya dihapuskan hanya dengan sebiji pil bersaiz kecil.

Malah masalah ketagihan dadah dalam kalangan penduduk Palestin di Semenanjung Gaza dilihat amat serius, menyaksikan sekatan rejim Zionis di wilayah berkenaan menjadi antara faktor gejala itu berlarutan.

Arab News dalam laporan eksklusifnya melaporkan, berdasarkan sumber tidak rasmi, penggunaan dan permintaan beberapa dadah sintetik se­perti eks­tasi, ganja serta candu semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Ia merebak biarpun langkah pencegahan dilakukan oleh pihak berkuasa. Skala masalah penyalahgunaan dadah diperoleh daripada sejumlah laporan disiarkan menerusi laman web Kementerian Dalam Negeri Palestin.

Ini terutamanya mengenai rampasan dadah oleh pihak berkuasa. Pada 2 Oktober tahun lalu, Ketua Jabatan Kawalan Dadah di Rafah, Mejar Ahmed Al-Shaer mengumumkan rampasan dadah terbesar.

Ia melibatkan jenis ganja sebanyak 33 kotak, 7,000 pil ekstasi dan 62 karton pil tramadol atau turut dikenali sebagai ubatan berasaskan opioid untuk merawat kesakitan selepas pembedahan.

Biarpun banyak kempen kesedaran diadakan, kerajaan Hamas masih gagal membendung masalah penagihan dadah dalam kalangan penduduk Palestin di wilayah Gaza ketika ini.

Menurut seorang pakar psikologi dan neurologi, Fadl Ashour­, dalam kajian yang dilakukan di Gaza sejak tiga tahun lalu mendapati, jumlah penagih dadah dianggarkan seramai 200,000 orang.

Jelas beliau, penggunaan dadah opioid dan ubat perangsang oleh golongan belia di Gaza adalah sebagai cara mereka ‘melahirkan kekecewaan’ dengan situasi yang melanda Semenanjung Gaza.

Ia khususnya sekatan dan kezaliman berterusan tentera Zionis yang menyebabkan wilayah itu gagal membangun untuk mencipta masa depan lebih baik kepada penduduknya.

Seorang daripada mangsa pe­nyalahgunaan dadah, Mohammed berkata, dia mula terjebak dengan pil tramadol ketika be­kerja sebagai tukang gali terowong bagi seludup barangan di antara wilayah Palestin dan Israel.

Jelasnya yang memiliki ijazah dalam bidang teknologi maklumat (IT), masa kerja yang lama dan memenatkan menyebabkan dia memilih pil tersebut untuk kekal cergas dan bertenaga sepanjang masa.

Namun, keputusan itu menyebabkan dia terlalu bergantung kepada pil berkenaan dan akhir­nya menyebabkan Mohammed menjadi ketagih. Ketika itu dia berusia 30 tahun dan Gaza berdepan masalah kekurangan kerja.

Tinggal bersama keluarga dan lima adik-beradik di rumah yang sempit, dia berpegang kepada harapan untuk masa depan yang lebih cerah dengan kekuatan pendidikan universitinya.

Ironi, ekonomi terus buruk dan tiada peluang kerja akibat sekatan rejim Zio­nis ketika Mesir tutup lintasan sempadan. Ekoran tekanan demi tekanan, Mohammed hanya mampu kerja di terowong sehingga terjebak dadah.

Seorang lagi pengguna tramadol, Said, 26, memberitahu bahawa dia hilang pekerjaan sebagai tukang gali terowong selepas tentera Mesir meningkatkan tahap keselamatan dan memusnahkan banyak terowong pada 2013.

Sehubungan itu, dia tidak mampu menyara kehidupan dan menyebabkan dirinya terjebak dalam ketagihan teruk serta mengambil masa yang lama untuk pulih.

Sementara itu, seorang pengedar dadah memaklumkan, harga pil ekstasi boleh mencecah dari AS$40 (RM163) hingga AS$54 (RM221) sebiji manakala tramadol dijual pada harga AS$5.40 sebiji (RM22).

Dia juga memberitahu bahawa bekalan opioid lebih mudah diperoleh berbanding dadah lain, selain tramadol diseludup ke Gaza dari Sinai di Mesir menerusi terowong terutamanya di bahagian timur Rafah.

Dalam perkembangan lain, tentera Hamas mendedahkan pasukan pengintip Israel cuba memasang peranti pada rang­kaian komunikasi mereka untuk memantau pergerakan kumpulan tersebut.

Hamas membuktikan dakwaan itu menerusi satu rakaman video papar cara pengawasan atau intipan dibuat berserta gambar gerudi, gergaji dan pistol digunakan pasukan pengintip terbabit. – Agensi/Mynewshub.TV

Loading...