Zawawi Tak Pertahan Kerusi DUN Gunung Semanggol?

IPOH – Setiausaha PAS Perak Mohd Zawawi Abu Hassan berkemungkinan tidak akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gunung Semanggol pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) berikutan faktor kesihatan.

Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria berkata Mohd Zawawi yang kini separuh lumpuh masih belum pulih sepenuhnya dan memerlukan rawatan rapi.

“Walaupun tahap kesihatannya beransur baik namun, kita nampak beliau tiada potensi untuk bertanding dalam masa terdekat…sekarang pun beliau masih memerlukan rawatan dan terapi untuk memulihkan kembali tahap kesihatannya seperti sediakala,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Manifesto PAS Perak bagi menghadapi PRU14 di sini malam tadi.

Pada 13 Feb lepas, Mohd Zawawi telah dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) selepas ditemui tidak sedarkan diri setelah terjatuh di dalam bilik air di rumahnya di Kampung Tebuk Panchur, Gunung Semanggol.

Selepas sebulan menjalani rawatan, difahamkan Mohd Zawawi kini menunjukkan tanda pemulihan yang positif walaupun masih tidak mampu bertutur.

Dalam perkembangan lain, katanya, PAS Perak hanya akan mengumumkan senarai penuh nama calon yang akan bertanding pada PRU14 selepas Parlimen dibubarkan. – BERNAMA