Zarina Anjoulie Mengaku Tak Bersalah

SEREMBAN – Selebriti sensasi, Zarina Anjoulie Lavocah Mohd Fahizul dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban, di sini, hari ini atas pertuduhan menggunakan dadah jenis methamphetamine, Jun lalu. 

Zarina, 34, yang hadir ke mahkamah dengan memakai jubah berwarna merah jambu dan bertudung bagaimana pun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Mahyun Yusof selepas kertas pertuduhan dibacakan. 

Mengikut pertuduhan, Zarina dituduh menggunakan dadah jenis methamphetamine di sebuah rumah di Kampung Chalet, Nilai, pada 29 Jun lalu. 

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya. 

Zarina diwakili peguam Fadhli Sutris dan Ahmad Faiz Munawar. 

Mahkamah menetapkan jaminan RM2,000 dan sebutan semula kes pada 24 September depan. 

Media sebelum ini melaporkan seorang selebriti wanita ditahan kerana disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah di sebuah rumah di Kampung Chalet, Nilai. 

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman dilaporkan berkata, wanita berusia 34 tahun itu ditahan oleh sepasukan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai yang membuat serbuan di rumah berkenaan. – myMetro Online