Zambri: Pakar Maklumat Geospatial Ketenteraan

Oleh: Datuk Akmar Hisham Mokhles

RAMAI yang mengenali Mejar Dr. Mohd Zambri Mohamad Rabab sebagai salah seorang pemegang Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Walaupun begitu, tidak ramai yang mengetahui bidang tugas sebenar anak Kampung Padang Terus, Alor Star ini, apatah lagi beliau ibarat insan di belakang tabir.

Malah beliau lebih suka melaksanakan tugas dengan caranya sendiri dalam mengumpulkan maklumat dan geospatial yang merangkumi pemetaan berdigit, imageri dan terrain demi memastikan beberapa program penting ATM berfungsi dengan baik serta mencapai matlamat yang ditetapkan.

Sebagai Ketua Sel Geospatial, Cawangan Pemetaan Pertahanan, Mohd. Zambri, 33, sedar tugas mengumpul maklumat ini bukan mudah untuk dilakukan lebih-lebih lagi bidang tersebut masih baru di negara ini.

Tambahan pula, masih terdapat kekangan dari segi teknologi yang digunakan serta ilmu pengetahuan bagi mempercepatkan pengumpulan maklumat berkenaan.

Dan kerana itu juga, beliau dan anggota bawahannya terpaksa bertungkus-lumus dalam menyediakan segala maklumat geospatial untuk tujuan ketenteraan.

Ini termasuklah perlu kerap turun ke lapangan untuk menjalankan kajian bagi memastikan segala maklumat yang dibekalkan betul dan menepati keperluan ATM.

Menceritakan penglibatan awalnya dalam bidang kerjaya tersebut, Mohd. Zambri berkata, ia bermula apabila beliau ditawarkan biasiswa ATM sewaktu mengikuti Ijazah Sarjana Muda Ukur Tanah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada tahun 1989.

Selepas berjaya mengenggam ijazah tersebut, mulai 23 Jun 1984, beliau telah ditauliahkan ke dalam Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) dan ditempatkan di 91 Rejimen Pembinaan di Kem Batu Kentomen sebagai Pegawai Tugas Ikhtisas dengan pangkat Kapten.

Pada penghujung 1994, beliau ditugaskan pula di Cawangan Pemetaan Pertahanan sehingga Ogos 2002.

Ketika berada di cawangan inilah beliau telah melanjutkan pelajaran pada peringkat Sarjana di Universiti Putra Malaysia (UPM) mulai bulan Mei 1998.

Ekoran kecemerlangan yang ditunjukkannya ketika mengikuti pengajian tersebut, akhirnya beliau dianugerahkan Ph.D pada bulan Ogos 2002 dalam bidang Remote Sensing Gunaan walaupun pada asalnya mendaftar mengikuti pengajian pada peringkat Sarjana.

Kejayaannya itu banyak dipengaruhi oleh galakan yang diberikan oleh Mejar Profesor Dr. Kamaruzaman Jusoff iaitu pensyarah Fakulti Perhutanan, UPM.

”Beliau adalah seorang pegawai sukarela dalam Rejimen Askar Wataniah dan suka melihat kalau ada pegawai tentera yang mahu belajar dalam bidang Remote Sensing.

”Baginya, ilmu tersebut banyak manfaatnya untuk dunia ketenteraan,” kata beliau.

Menurut Mohd. Zambri, beliau sanggup mengikuti pengajian ke peringkat Ph.D walaupun terpaksa menanggung sendiri kos pengajian kerana memikirkan yang berkait rapat dengan tugas hariannya.

Sewaktu menyiapkan kajian peringkat Ph.D yang bertajuk Development of Terrain Analysis Database Using Military Geographic Information System itu, Mohd. Zambri telah berjaya mengkaji kemampuan imej satelit IKONOS dalam menjanakan data-data geospatial ketenteraan yang seterusnya dianalisis untuk mengeluarkan peta Cross Country Movement.

Untuk memantapkan lagi ilmu pengetahuan dalam bidang geospatial khusus untuk ketenteraan, beliau telah dihantar oleh Kementerian Pertahanan ke Royal School of Military Survey, United Kingdom untuk mengikuti Ijazah Sarjana Maklumat Geografi Pertahanan dan Army Survey Coursee mulai Ogos 2002 hingga Oktober 2003 yang dilaksanakan bersama Cranfield University.

”Ia merupakan satu-satunya kursus peringkat antarabangsa berkenaan geospatial pertahanan.

”Saya menjadi pegawai tentera Malaysia yang pertama ikuti kursus berkenaan,” katanya.

Kesungguhan dan ketekunannya mengikuti kursus tersebut telah membolehkannya berjaya menyelesaikan banyak masalah dalam bidang Terrain Analysis melalui Projek Sarjan bertajuk Development of Cross Country Networks for Military Manoeuvre Analysis.

Kerana itu juga, Mohd. Zambri telah menerima anugerah Simpson Leicra Prize iaitu satu anugerah kepada pelajar terbaik yang paling berpotensi dalam bidang geospatial ketenteraan.

Selepas menamatkan pengajian, mulai November lalu, beliau telah ditugaskan semula di Cawangan Pemetaan Pertahanan.

Kini segala ilmu yang diperolehnya dalam bidang tersebut dicurahkan sepenuhnya demi kepentingan ATM.

Tambahan pula, pemodenan ATM dewasa ini turut melibatkan konsep baru peperangan yang berteraskan Digitization of the Battlespace yang mana segala perancangan dan peperangan dilaksanakan menggunakan sistem berkomputer dan diintegrasikan dengan semua sistem-sistem lain di markas formasi.

Lantaran ini jugalah ATM telah melancaran projek-projek seperti Command, Control, Communication and Intellgence (C31) System, War Games System, Military Geographic Information System (MGIS) dan Artillery Hunting Radar (Arthur).

Kecanggihan sistem-sistem ini pastinya turut memerlukan maklumat data geospatial yang merangkumi pemetaan berdigit, imageri dan terrain sebagai nadi utama untuk berfungsi.

Dan di sinilah, sebagai pakar maklumat geospatial, Mohd. Zambri bertanggungjawab untuk memastikan segala data atau maklumat yang diperlukan oleh projek-projek berkenaan dapat dibekalkan dengan segera agar matlamat projek tersebut tercapai.

Menyentuh bidang tugasnya sebagai Ketua Sel Geospatial, Mohd. Zambri berkata, beliau bertanggungjawab mengkoordinasikan keperluan maklumat geospatial pertahanan untuk kegunaan sistem teknologi informasi maklumat (ICT) kenderaan dan sistem senjata ATM.

Pada masa yang sama, beliau juga akan memberi nasihat terhadap pembangunan aplikasi Sistem Maklumat Geografi (GIS) di dalam ATM.

”Untuk itu, saya perlu terlibat dalam banyak persidangan, seminar dan kerja-kerja di lapangan untuk memastikan maklumat di atas peta sama dengan imej satelit dan keadaan sebenar,” katanya.

Walaupun begitu, bapa kepada seorang anak lelaki ini tidak terlepas daripda berhadapan dengan berbagai cabaran.

”Bidang geospatial ini amat luas dan semakin penting dalam bidang ketenteraan.

”Memandangkan jumlah kami tidak ramai, maka banyak tugas yang terpaksa kami lakukan,” katanya sambil memberitahu ada kalanya mereka juga berhadapan dengan kesukaran untuk meyakinkan pihak tertentu bahawa warga tentera telah memiliki kepakaran dalam bidang geospatial.

Tentang impian dalam kerjaya yang diceburinya pula, Mohd. Zambri berazam untuk memastikan pembangunan dan pengurusan maklumat geospatial yang mapan dapat diwujudkan dalam ATM.

Di samping itu, beliau mahu melihat konsep Jint Operation Picture (JOP) dapat dilaksanakan dalam ATM suatu hari nanti sama seperti yang dilakukan oleh sesetengah negara maju.

”Negara Britain misalnya telah menetapkan unutk menguasai konsep JOP ini dalam tempoh 10 tahun lagi.

”Kita masih lagi di peringkat awal,” katanya sambil mengajak graduan universiti yang mempunyai pengetahuan dalam bidang berkaitan tersebut menyertai ATM untuk memajukannya. – MYNEWSHUB.CC

*Petikan dari buku ‘Demi Negara’ tulisan Datuk Akmar Hisham Mokhles (gambar). Beliau juga adalah Setiausaha Akhbar Perdana Menteri.