Zaman PM Ke-4 Dulu Mana Ada Gaji Minimum!

SELEPAS dikejutkan dengan pelbagai kejutan, rakyat Malaysia sekali lagi terkejut apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) amat ‘kedekut’ naik gaji minimum…

SELEPAS dikejutkan dengan pelbagai kejutan, rakyat Malaysia sekali lagi terkejut apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) amat ‘kedekut’ naik gaji minimum setakat RM50 aje mulai 1 Januari depan.

Pengumuman kenaikan kadar gaji minimum kebangsaan daripada RM1,000 kepada RM1,050 atau RM5.05 sejam itu jelas menunjukkan situasi semasa ekonomi negara sedang dalam keadaan cukup tenat di bawah pentadbiran PH.

Perkara itu didedahkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang mendakwa ia akibat situasi semasa menyaksikan nilai ringgit merudum, pendapatan negara kurang dan banyak projek pembangunan dihentikan.

Ia sekali gus menandakan Malaysia memasuki tahun 2019 dalam keadaan ekonomi suram dan membuktikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai tidak berminat bela nasib pekerja khususnya isu gaji.

“Dalam Pilihan Raya Umum (PRU), Barisan Nasional (BN) dan PH bersama-sama janji seragam gaji minimum di seluruh negara kepada RM1,500. BN namun berjanji untuk tingkat secara berperingkat dalam tempoh lima tahun.

“Oleh kerana BN janji secara beransur-ansur, sebahagian besar kesatuan sekerja menyokong PH. Mereka harap bulan jatuh ke riba dengan segera, dan akhirnya?” soal Ahli Parlimen Padang Terap itu dalam satu kenyataan.

Tambah Mahdzir, kesatuan yang sokong PH dalam PRU lalu juga lupa bahawa selama 22 tahun pemerintahan Mahathir sebagai perdana menteri keempat, beliau tidak pernah membenarkan Akta Gaji Minimum digubal.

Hanya pada ketika Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri, kerajaan BN mula memperkenalkan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 disusuli pula dengan penguatkuasaan Perintah Gaji Minimum pada 2012.

“Kali pertama diperkenalkan kerajaan BN menetapkan gaji minimum Semenanjung Malaysia RM900 sebulan atau RM4.33 sejam. Manakala Sabah, Sarawak dan Labuan pada kadar RM800 sebulan atau RM3.85 sejam.

“Jika sesiapa masih ingat, ketika akta ini dibentangkan, Mahathir ada membuat komen dengan kritik inisiatif pengenalan gaji minimum yang didakwa beliau kononnya boleh menjejaskan pertumbuhan perniagaan.

“Pada 2016, BN kuat kuasa gaji minimum baharu dengan kenaikan kepada RM1,000 sebulan di Semenanjung; serta RM920 sebulan di Sabah, Sarawak dan Labuan. Ini peningkatan antara RM100 hingga RM120,” kata Mahdzir.

Sekiranya BN masih memerintah jelas Mahdzir, kenaikan seterusnya adalah sekitar RM1,200 hingga RM1,250 sebulan. Tetapi sebilangan rakyat telah membuat keputusan mengundi PH dengan pelbagai janji manis mereka.

“Bertabahlah para pekerja dan rakyat Malaysia,” kata bekas menteri pendidikan itu sebagai mengulas rungutan pelbagai pihak yang kesal dengan kenaikan hanya RM50 sahaja diumumkan Mahathir di Putrajaya semalam.

Loading...