Zaman Negara Ada Syarikat Penerbangan Nasional Telah Berlalu

KUALA LUMPUR – Zaman ketika mana setiap negara memiliki sebuah syarikat penerbangan nasional telah berlalu, kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, Malaysia masih boleh memiliki syarikat penerbangan nasional tetapi ia tidak semestinya dimiliki oleh kerajaan.

“Sekarang anda boleh mempunyai beberapa syarikat penerbangan. Salah satu daripada mereka boleh dikenali sebagai syarikat penerbangan nasional kerana ia membawa simbol (negara) tetapi ia boleh dikendalikan oleh sektor swasta,” katanya dalam satu artikel yang disiarkan dalam “Going Places”, majalah penerbangan Malaysia Airlines.

Beliau menjawab soalan mengenai sama ada masih ada nilai untuk memiliki sebuah syarikat penerbangan nasional selain daripada semangat patriotisme atau kebanggaan.

Malaysia Airlines yang bermasalah dilaporkan sedang mengkaji beberapa opsyen untuk mengatasi kerugian dalam industri penerbangan yang kompetitif.

Kepada satu soalan, Mahathir menarik perhatian bahawa beliau sentiasa terbang dengan Malaysia Airlines pada masa itu dan menikmati makanan yang dihidangkan dalam penerbangan.

“Makanan yang dihidangkan memang baik, dan sudah tentu, sebagai Perdana Menteri, saya dapat duduk di Kelas Pertama,” katanya.

Mengenai soal pelancongan di Malaysia, beliau berpendapat bahawa terdapat terlalu banyak prosedur birokrasi dalam sektor ini dan ia perlu dikurangkan.

Beliau berkata dalam beberapa kes, rakyat Malaysia nampaknya tidak begitu mesra.

“Kami mendapati bahawa di sesetengah negara, rakyatnya sentiasa tersenyum, mereka amat mengalu-alukan pelancong, tetapi kadang-kala, rakyat Malaysia tidak bersikap sedemikian,” ujarnya.

Loading...