Zakir Naik Hanya Satu Di Dunia Pakar Ilmu Banding Agama

ALOR SETAR – Penceramah bebas, Dr. Zakir Naik disifatkan sebagai satu-satunya manusia di dunia ini pada ketika ini yang mempunyai kelebihan dalam ilmu perbandingan agama.

Perkara itu dinyatakan Pesuruhjaya PAS Kedah, Ahmad Yahaya yang berkata, sebagai sebuah negara demokrasi, ‘suara’ Zakir tidak sepatutnya dihalang oleh mana-mana pihak.

Katanya, malah PAS dan UMNO Kedah turut sebulat suara untuk terus membenarkan Zakir berada di negara ini.

“Mengenai siasatan terhadap Zakir (berhubung laporan polis), biarlah Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan. Kita hormati (siasatan) walaupun kenyataan Zakir diputar belit pihak tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Perjumpaan Mahabbah Perpaduan Ummah Kedah di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan barisan kepimpinan negeri kedua-dua parti itu.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada hari ini menegaskan bahawa beliau tetap dengan pendiriannya bahawa Zakir tidak akan dihantar pulang ke India.

“Buat masa ini, tiada perubahan (pendirian),” katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama 1,500 pegawai kerajaan gred 41 hingga 48 di Putrajaya.

Awal bulan lalu, Dr. Mahathir dilaporkan berkata, kerajaan tidak akan menghantar pulang penceramah bebas itu sekiranya beliau tidak membuat sebarang masalah.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, Zakir juga tidak akan dihantar pulang kerana sudah diberikan taraf penduduk tetap negara ini.

Kelmarin, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, Zakir tidak dibenar memberi ceramah di semua medium, termasuk dalam media sosial. – UTUSAN ONLINE