Zaini Jass Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Baharu

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengumumkan 27 pertukaran pegawai kanannya berkuat kuasa 19 November.

Ia antara lain menyaksikan Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran), Jabatan Pengurusan Bukit Aman, SAC Datuk Zaini Jass dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu dengan memangku pangkat DCP.

Tempat beliau akan diambil alih Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan), Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, SAC Datuk Abdul Majid Mohd Ali.

Pertukaran itu diumumkan Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) Datuk Asmawati Ahmad dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Komander 69 Komando, Pasukan Gerakan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Ulu Kinta, Perak SAC Datuk Fisol Salleh dilantik sebagai Timbalan Pengarah KDNKA (Operasi) Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP.

Tempat Fisol bakal diambil alih ACP Abdul Razak Mohd Yusof, yang kini merupakan Timbalan Komander 69 Komando, Pasukan Gerakan Khas, Jabatan KDNKA Ulu Kinta.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pengurusan Kuala Lumpur SAC Datuk Azmi Abu Kassim bakal memegang jawatan Timbalan Ketua Polis Kelantan.

Jawatan Azmi akan diambil alih ACP Ismail Mat Sidik yang kini Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Kelantan. Ismail akan memangku pangkat SAC. – BERNAMA

Loading...