Zahid Tak Bincang Keperluan MAGERAN Bersama Agong

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau tidak membangkitkan keperluan penubuhan sebuah badan seperti Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) dalam sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sebentar tadi.

Ahmad Zahid berkata, beliau beranggapan bahawa MAGERAN adalah sesuatu di luar kebiasaan sedangkan proklamasi Darurat yang berkuatkuasa sekarang sudah mencukupi, cuma ia digunakan untuk mencapai tujuan lain.

“Saya sudah mempersembahkan kepada Tuanku mengenai pendirian UMNO terutamanya untuk Darurat tidak diteruskan selepas 1 Ogos ini.

“Ini kerana kemudaratannya lebih besar kepada negara, ternyata tanpa darurat pun dahulu kerajaan masih boleh menguruskan isu-isu berkaitan dengan pandemik COVID-19,” katanya pada media selepas menghadap Seri Paduka di Istana Negara, pagi ini.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid, berkata UMNO juga membawa suara rakyat yang rata-ratanya resah dan gelisah menghadapi pandemik COVID-19 sehingga menjejaskan ekonomi dan mata pencarian mereka.

Beliau berkata, UMNO turut berpendirian Parlimen wajar bersidang semula bagi memastikan sistem demokrasi negara dapat dipertahan dan wujud elemen kebertanggungjawaban serta semak dan imbang dalam segala aspek pentadbiran negara.

Katanya, UMNO berpendapat sidang Parlimen adalah platform rasmi menyuarakan suara hati rakyat berkenaan kepentingan mereka seperti tuntutan moratorium, kenaikan mendadak harga barang, i-Sinar 2.0 dan i-Lestari 2.0.

“Ini termasuk pelbagai bantuan untuk semua, tidak terhad kepada kumpulan B40 tetapi turut membabitkan kumpulan M40 dan T20 yang turut terjejas.

“Maka kita beranggapan aspek ekonomi sama ada pelaburan langsung asing (FDI) yang dilokasikan ke negara jiran dan pelaburan dari dalam negara harus digalakkan dengan pelbagai insentif diberi pihak kerajaan,” katanya. – BH Online