Zahid Pun Tak Ingin Jumpa Pemimpin Macam Mahathir

AGENDA untuk memburukkan nama pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi nampaknya kini giat dijalankan oleh pelbagai pihak menjelang pemilihan jawatan tertinggi parti itu 30 Jun ini.

Baru-baru ini, bekas pemimpin UMNO, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan melalui satu kenyataan ‘menyerang’ Zahid bertubi-tubi apabila melabelkan bekas timbalan perdana menteri itu sebagai penipu.

Bukan itu sahaja, Khairuddin yang merupakan ‘budak suruhan’ Mahathir itu mencabar Zahid untuk mengangkat sumpah laknat kerana memutar belit fakta mengenai perjumpaannya bersama perdana menteri pada 7 Jun lalu.

Sebelum ini, Mahathir mendedahkan bahawa Zahid bertemu beliau pada waktu itu bagi mendapatkan nasihat mengenai cara mentadbir UMNO.

Bagaimanapun, selepas lama mendiamkan diri melihat segala tohmahan berat dilemparkan kepadanya, Zahid tampil mendedahkan bahawa beliau sebenarnya dijemput Mahathir dan bukannya merayu pertolongan.

Lebih menarik, Zahid turut mendedahkan kepada umum bahawa Mahathir sebenarnya meminta wakil rakyat UMNO untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam pertemuan itu.

Mempunyai pendirian yang kuat, Zahid kemudiannya menolak ‘jemputan’ Mahathir itu apabila dengan jelas mengatakan tidak ada jalan untuk wakil rakyat UMNO berbuat demikian.

Tindakan Khairuddin yang menempelak dan melabelkan Zahid sebagai seorang penipu mungkin terlupa bahawa Mahathir sebenarnya seorang penipu yang lebih besar.

Sudah lupakah Khairuddin dengan kenyataan-kenyataan Mahathir selama ini yang hanya dibuat bagi memancing undi tanpa berniat pun untuk melaksanakannya?

Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu, Mahathir pernah mengeluarkan kenyataan bahawa hutang negara di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak boleh memufliskan negara.

Namun begitu, sejak dilantik semula sebagai perdana menteri, beliau secara tiba-tiba mengakui bahawa negara tidak akan bankrap pula.

Malah, Mahathir turut mengakui banyak agensi kerajaan mempunyai simpanan yang besar dan ditinggalkan oleh pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Bukan itu sahaja, manifesto 10 janji dalam masa 100 hari kini sudah terang lagi bersuluh merupakan penipuan terbesar dalam sejarah negara apabila hampir semua janji manis yang dibuat gagal ditunai.

Lebih menyedihkan rakyat Malaysia, janji “hari ini menang, esok minyak turun” juga ‘dicapati’ apabila baru-baru ini kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengumumkan harga minyak RON95 dan diesel kekal hingga hujung tahun.

Mereka yang untung sejak Mahathir kembali menjadi perdana menteri tentunya kroni-kroni setianya sehingga beberapa projek besar dalam negara ketika ini diberikan kepada mereka.

Ini menunjukkan juga bahawa Mahathir bukanlah terlalu ‘bersih’ seperti yang dianggap oleh kebanyakan orang muda di Malaysia kini sehingga mempopularkan kembali seseorang yang pernah digelar ‘diktator’ itu.

Selain itu, isteri perdana menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Ali juga pernah mendedahkan dalam satu wawancara bahawa Mahathir ‘melarangnya’ mengenakan tudung.

Malah, anak Mahathir, Mirzan Mahathir juga pernah dilantik sebagai pengarah syarikat San Miguel yang terkenal dengan perniagaan minuman keras suatu ketika dahulu.

Jadi, untuk Khairuddin mengecam Zahid sebagai seorang manusia hipokrit, fasik serta mempunyai imej agama yang ‘plastik’ sangatlah berat sebelah dan kelihatan taksub.

Jika diamati dengan jelas, semua kenyataan serta tindakan dari Khairuddin dan juga Mahathir ini hanya dilakukan bagi menjatuhkan imej Zahid yang bakal bertanding dalam pemilihan UMNO.

Mereka sedar kekuatan yang dimiliki oleh Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dan gentar dengan prospek Zahid sebagai Ketua Pembangkang yang akan menentang pentadbiran Mahathir dalam PH.

Mahathir sedar hubungan baik Zahid dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga berpotensi untuk menyukarkan beliau mentadbir negara mengikut kepentingannya.

Malah, Mahathir juga secara terang-terangan sebelum ini menzahirkan kemahuannya untuk Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjadi Presiden UMNO sehingga bekas ketua pemuda itu menyahut cabaran Mahathir pada saat akhir.

Perkara ini sebenarnya seperti sudah dirancang oleh Mahathir dan dilakukan untuk satu tujuan sahaja iaitu menjatuhkan imej Zahid sebagai pemimpin berwibawa menjelang pemilihan tertinggi UMNO, Sabtu ini.

Tindakan Mahathir yang tiba-tiba hendak menjemput Zahid untuk hadir ke pejabat beliau di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya ternyata mempunyai agenda politik tersirat.

Jadi, tak ada gunanya Khairuddin terlalu taksub ‘menyerang’ Zahid melalui kenyataannya yang dilihat sangat beremosi itu. Apa yang Zahid dah buat sampai marah sangat tu?

Khairuddin dedah kononnya Zahid merayu kepadanya untuk bertemu dengan Mahathir.

Apa gunanya Zahid nak jumpa dengan seorang pemimpin macam Mahathir?

Hina sangatkah Zahid hingga kononnya ‘merangkak’ meminta pertolongan Mahathir mengenai cara-cara menguruskan parti? Di mana logiknya?

Jika Zahid mempunyai perwatakan seperti Mahathir, pastinya beliau akan memastikan kerusi Presiden parti tidak dipertandingkan supaya beliau menang percuma.

Tak perlu terlalu menghina seorang pemimpin yang hanya mahu berkhidmat buat parti dan juga rakyatnya sampai begitu sekali.

Tidak mustahil Zahid menerima jemputan Mahathir untuk mengadakan pertemuan hanya sebagai tanda hormat memandangkan Mahathir juga pernah menjadi ketuanya satu ketika dahulu.

Orang jemput, atas dasar budi bahasa pergilah. Itu sahaja.

Jadi hentikanlah perbuatan tidak profesional menjatuhkan Zahid hanya kerana tidak mahu beliau menjadi pemimpin kepada parti pembangkang yang pastinya akan menentang kerajaan habis-habisan selepas ini.

Yang pasti, Zahid pun hadap sangat nak jumpa pemimpin macam Mahathir, yang banyak ‘kencing’. – MYNEWSHUB.CC

Loading...