Zahid Nafi Arah Polis Tangkap Amri, Raymond Koh

KUALA LUMPUR – Bekas menteri dalam negeri, Ahmad Zahid Hamidi menafikan beliau pernah mengarahkan Bukit Aman menahan aktivis Perlis, Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh yang hilang sejak 2016.

Ia susulan keputusan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia hari ini yang menyalahkan Cawangan Khas Bukit Aman sebagai pihak bertanggungjawab ke atas kehilangan paksa Amri dan Koh.

Zahid yang merupakan menteri dalam negeri dari 2013 hingga 2018 berkata, beliau dan kementeriannya tidak terbabit dalam kehilangan mereka kerana tiada arahan sedemikian dikeluarkan pada 2016 hingga 2017.

“Saya belum melihat laporan Suhakam, namun jika penemuan itu memperlihatkan ada penglibatan pihak ke-3, maka kita harus menghormati laporan berkenaan.

“Pada waktu yang sama, kita harus juga menghormati institusi kepolisan dan dalam perkara ini, sebarang siasatan yang mahu dilakukan harus berdasarkan pendekatan profesionalisme,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Amri ialah pengasas persatuan kebajikan Perlis Hope yang hilang sejak 24 November 2016.

Isterinya, Norhayati Mohd Ariffin dilaporkan berkata, saksi ternampak 5 kenderaan menghalang laluan kereta Toyota Fortuner milik Amri, sebelum beliau dibawa pergi, kira-kira 550m dari rumah mereka di Bukit Chabang, Kangar.

Katanya, seorang pegawai Cawangan Khas dari Perlis, Sarjan Shamzaini Mohd Daud memberitahunya pada malam 12 Mei 2018, Cawangan Khas di Kuala Lumpur yang melakukan penculikan itu.

Ada yang mengatakan Amri menjadi sasaran atas dakwaan kecenderungannya terhadap ajaran Syiah yang dianggap “sesat” oleh pihak berkuasa agama tempatan.

Koh pula diculik sekumpulan lelaki bertopeng dari keretanya di Jalan SS4B/10, kurang 100m dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Februari 2017, semasa beliau dalam perjalanan ke rumah rakannya.

Rakaman kamera litar tertutup sebuah rumah berhampiran tempat kejadian menunjukkan lebih 10 lelaki dan sekurang-kurangnya 3 kenderaan hitam terbabit dalam kejadian siang hari itu.

Ramai mengatakan penculikan Koh mungkin ada kaitan dengan dakwaan beliau cuba menyebarkan agama Kristian, walaupun keluarganya menolak dakwaan itu.

Ketua Polis Negara ketika itu, Khalid Abu Bakar menolak dakwaan polis terbabit dalam penculikan Koh.

Seorang lelaki berusia 31 tahun didakwa pada Januari 2018 di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan Koh. Jika sabit kesalahan, hukuman penjara maksimum 7 tahun dan denda boleh dikenakan. – FMT

Loading...