Zahid Mohon Maaf Kepada Seluruh Kepimpinan PAS

KUALA TERENGGANU – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyatakan permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh kepimpinan PAS pada Himpunan Penyatuan Ummah (HPU) peringkat Terengganu di Stadium Negeri malam tadi.

Menurutnya, kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu bukan sekadar takdir malah ketentuan ALLAH SWT.

“Mungkin ALLAH SWT mahu turunkan pengajaran disebabkan kifarah kesilapan yang berlaku sejak 61 tahun.

“Justeru saya mewakili seluruh kepimpinan UMNO memohon maaf dari hujung rambut hingga hujung kaki daripada seluruh kepimpinan PAS,” katanya ketika berucap pada himpunan itu.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru kepada seluruh akar umbi parti dapat mengetepikan perbezaan pendapat demi mengembalikan maruah Islam dan Melayu di negara ini.

“Tiada beza sama ada berkopiah putih atau bersongkok hitam, kita semua adalah satu ummah dan satu perjuangan.

“Ketepikan perbezaan pendapat dalam kalangan kita, apabila kita mahu bertasawwur (konsep kehidupan Islam) perkara pokok yg perlu ada pada diri kita ialah keikhlasan.

“Keikhlasan dalam hubungan yang terjalin antara UMNO dan PAS ini bukan sekadar retorik semata-mata, kita menuju satu matlamat yang sama demi penyatuan ummah,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menyatakan kesediaan dan mengalu-alukan sekiranya Muktamar Tahunan PAS pada tahun depan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

“Saya pernah berbisik kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sekiranya Muktamar PAS tahun depan mahu berpindah ke PWTC, ‘ahlan wasahlan’.

“Selama 61 tahun PAS terseksa jadi pembangkang, insya-ALLAH lepas menang dalam PRU15, kita sama-sama duduk dalam satu Kabinet.

“Kita berusaha, bertawakal dengan izin-Nya, Putrajaya sudah mesti milik kita dalam PRU15,” katanya.

Terdahulu, sejarah tercipta setelah kedua-dua parti itu membuka lembaran baharu setelah mengisytiharkan pembentukan Muafakat Nasional yang membawa agenda penyatuan ummah di PWTC pada 14 September lalu. – Sinar Harian

Loading...