Zahid Masih Beri Keterangan Selepas 6 Jam Di SPRM

PUTRAJAYA – Proses mengambil keterangan kali keempat Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung siasatan dakwaan kes penyelewengan dana sebuah yayasan dipercayai masih berlangsung selepas enam jam beliau di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini.

Ahmad Zahid yang berbaju batik tiba di sini pada 9.15 pagi tadi masih belum keluar dari perkarangan bangunan berkenaan setakat 3.15 petang hari ini.

Seorang pegawai SPRM yang ditemui Bernama di sini, mengesahkan bahawa Ahmad Zahid masih diambil keterangan.

Turut hadir ialah anak kepada bekas timbalan perdana menteri berkenaan iaitu Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid yang menemani bapanya selain memberi sokongan moral dalam kes itu.

Setakat ini, media masih lagi berkumpul di hadapan bangunan SPRM bagi menantikan perkembangan Ahmad Zahid berhubung kes itu.

Puluhan wartawan tempatan dan antarabangsa berkumpul di perkarangan ibu pejabat SPRM seawal 8 pagi untuk membuat liputan kes berkenaan.

Isnin lepas, Ahmad Zahid menerusi laman Twitter rasminya berkata beliau akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM.

Semalam, presiden UMNO itu hadir memberi keterangan kali ketiga berhubung kes yang sama selama lapan jam di SPRM di sini.

Pada Julai lepas, Ahmad Zahid memberi keterangan sebanyak dua kali kepada SPRM berhubung siasatan terhadap dana Yayasan Akal Budi milik keluarganya yang ditubuhkan untuk menjalankan aktiviti amal. – BERNAMA

Loading...