Xavier Kekal Pendirian Keluar PKR

BANTING – Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar kekal dengan pendiriannya berhubung kenyataannya keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Sabtu.

“Saya kekal dengan pendirian saya, itu sahaja,” katanya ketika ditemui pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Dewan Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) di sini pada Isnin.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kenyataan tersebut.

Pada Sabtu, Dr Xavier yang juga bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Naib Presiden PKR dan keluar parti itu berkuatkuasa serta-merta.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, beliau turut mengumumkan akan menjadi ahli Parlimen bebas dan menyokong kerajaan PN.

Menurutnya, tindakan tersebut diambil kerana kekecewaan beliau terhadap situasi politik yang berlaku dalam negara ketika ini.

Dr Xavier memaklumkan beliau telah memaklumkan pendiriannya untuk menjadi ahli Parlimen bebas kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam satu surat yang bertarikh 12 Mac 2021.

Dalam surat berkenaan, Dr Xavier turut menyatakan bahawa beliau akan menyokong kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. – Sinar Harian