Wujudkan Senarai Awam Kondominium Dibeli Warga Asing

PETALING JAYA – Bekas menteri kewangan kedua, Johari Abdul Ghani menggesa diwujudkan satu senarai awam kondominium yang boleh dibeli oleh warga asing berikutan cadangan kerajaan untuk menurunkan nilai ambang harga hartanah yang boleh dibeli kumpulan itu kepada RM600,000.

Beliau berkata, senarai hartanah berharga RM600,000 ke atas hendaklah didedahkan kepada awam dengan serta-merta.

“Lokasi, bilang unit dan semua maklumat berkaitan mesti telus,” katanya.

Beliau memberi amaran bahawa sesetengah pemaju boleh menyalahgunakan sistem berkenaan dengan menaikkan harga semasa hartanah dari RM500,000 ke RM600,000 untuk menjualnya kepada orang pembeli asing.

Bagaimanapun Johari berpandangan bahawa kerajaan tidak sepatutnya campur tangan dalam pasaran hartanah.

“Unit terbabit dibina oleh pemaju untuk pasaran mewah. Pemaju tahu tujuan mereka.”

Katanya kerajaan sebaliknya perlu mengambil langkah membantu pemaju yang membina rumah mampu milik.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mencadangkan penurunan nilai ambang harga hartanah yang boleh dibeli oleh warga asing kepada RM600,000 ketika membentangkan Belanjawan 2020 minggu lepas.

Beliau berkata, nilai lebih rendah itu hanya terpakai untuk kondominium tidak terjual sedia ada dan tidak meliputi projek baru.

Dalam pada itu Johari berharap Putrajaya akan mengkaji semula cadangan untuk memberikan elaun selama dua tahun kepada graduan menganggur.

Beliau berkata, mereka sepatutnya diberikan wang tunai bagi menggalakkan perbelanjaan dan merangsang ekonomi, bukannya dikreditkan ke dalam akaun persaraan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). – FMT

Loading...