WTCKL Jadi PPV Sediakan Suntikan AstraZeneca

16

Kuala Lumpur : Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) kembali menjadi Pusat Pemberian Vaksin Mega (PPV) bagi melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Penggalak (Booster) atau lebih dikenali sebagai PICK-B selaras dengan visi Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mempercepatkan dan mempertingkatkan kapasiti pemberian vaksin dos ketiga itu.

Ketua Pegawai Operasi WTCKL, Fauzy Wahab berkata, sebanyak 9,000 dos vaksin AstraZeneca akan disediakan di situ untuk orang ramai setiap hari.

Katanya, terdapat tiga penganjur penjagaan kesihatan (HCO) yang terbabit dalam program vaksinasi mega itu iaitu BookDoc, BP Healthcare dan U.N.I Klinik.

“Waktu operasi adalah jam 8.30 pagi hingga 9 malam setiap hari bermula Sabtu ini sehingga 15 Mac ini.

“Janji temu vaksinasi akan diberikan melalui aplikasi MySejahtera atau melalui khidmat pesanan ringkas kerana ‘walk-in’ tidak lagi dibenarkan seperti yang dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Penerima vaksin dinasihatkan membawa pen sendiri untuk mengisi borang kebenaran sebagai usaha meminimumkan sentuhan fizikal melalui perkongsian pen di pusat vaksinasi seterusnya membantu mengurangkan penularan wabak Covid-19.


Fauzy berkata, laluan khas disediakan di PPV WTCKL untuk orang kelainan upaya dan warga emas.

“Kita juga menyediakan bilik bertenang untuk penghidap Gangguan Spektrum Autisme, Kecelaruan Keresahan dan Serangan Panik serta bilik perubatan khas untuk sebarang kes kecemasan di PPV Mega WTCKL,” katanya.

Menurutnya, kaunter pertanyaan juga disediakan di sebelah pintu masuk utama WTCKL yang menawarkan bantuan segera kepada orang ramai yang mempunyai sebarang isu berkaitan temujanji vaksin atau hal berkaitan MySejahtera.

“Selain itu, KKM juga bercadang membuka pusat panggilan di PPV Mega WTCKL bagi menjawab sebarang pertanyaan berkaitan vaksin. Bagaimanapun ia masih belum diputuskan oleh pihak kementerian,” katanya.

-Harian Metro