Wisma Putra Sedia Bantu Bawa Pulang Jho Low

KUALA LUMPUR – Wisma Putra sedia membantu membawa pulang Low Teak Jho atau Jho Low jika Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengetahui lokasi sebenar ahli perniagaan dalam buruan itu. 

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata tiada alasan untuk Wisma Putra tidak membantu membawa pulang individu terbabit supaya dapat dihadapkan ke muka pengadilan.

“Mengenai Jho Low, kita tidak tahu sama ada benar dia ada di China. Jika PDRM memaklumkan kepada Wisma Putra kedudukan sebenar dan di mana dia berada, tidak ada sebab Wisma Putra tak boleh membantu.

Baca: Banyak Manfaat Bakal Diraih Malaysia Melalui RCEP

“Wisma Putra sedia membantu untuk membawa dia pulang menghadap pengadilan,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Hishammudin menjawab celahan RSN Rayer (PH-Jelutong) sama ada Wisma Putra boleh membantu mengesan dan membawa pulang ahli perniagaan dalam buruan itu bagi membantu siasatan kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 

Selasa minggu lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, dilaporkan berkata Jho Low tidak perlu takut kembali ke tanah air jika dia beranggapan dirinya tidak bersalah dalam kes penyelewengan dana 1MDB.

“Jika dia yakin dirinya tak bersalah, saya mempelawa dia pulang bagi membolehkannya membela diri. Jangan terus lari dan menyembunyikan diri di luar negara,” kata Abdul Hamid seperti dilaporkan.

Malah, Ketua Polis Negara juga dilapor menegaskan, beliau boleh mengaturkan pertemuan Jho Low dengan Jabatan Peguam Negara, selain memberi jaminan keselamatan ke atas ahli perniagaan dalam buruan itu.

Abdul Hamid memaklumkan, bukan saja pihak berkuasa Malaysia yang ‘memburu’ Jho Low tetapi juga Amerika Syarikat dan Singapura. – BH Online